Kota Bharu: Tiga individu dikompaun RM2,000 seorang selepas dikesan cuba merentas negeri untuk pulang ke Kelantan walaupun tidak lengkap vaksin Covid-19 di sekatan jalan raya (SJR) di Pasir Puteh dan Machang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, hasil pemeriksaan polis mendapati, tiga individu itu sudah mengambil vaksin Covid-19 bagi dos pertama dan menunggu untuk suntikan dos kedua.
Beliau berkata, di SJR di Pasir Puteh, pihaknya mengesan satu kes, manakala sekatan secara rambang di Machang mengesan dua individu.
“Mereka mencuba nasib untuk pulang ke kampung walaupun tidak lengkap divaksinasi, namun polis dapat mengesannya.
“Bagi kes di Pasir Puteh, mereka tidak akan terlepas kerana anggota di lokasi itu bertugas secara bergilir-gilir bagi tempoh 24 jam, manakala dua individu itu terlepas pulang dengan memasuki Gua Musang, Kuala Krai sebelum dapat dikesan polis di Machang.
“Kita tidak akan berkompromi apabila memberi kompaun serta-merta dan mengarahkan mereka supaya berpatah balik ke destinasi asal,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Sementara itu, Shafien berkata, keadaan trafik di Kelantan tidak banyak berubah dan terkawal seperti sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, orang ramai diingatkan supaya mengatur perjalanan mereka untuk mengelakkan kesesakan.
Selain itu, katanya, mereka dinasihatkan sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) dan menyesuaikan diri dengan kehidupan norma baharu.
Sumber: My Metro