Kota Bharu: Pelbagai cara yang diadaptasi bagi menzahirkan rasa kecintaan serta sayangkan negara, termasuk melukis gambar Jalur Gemilang pada wajah.
Itu dilakukan pemilik butik pengantin, Faridatul Aswani Mohd Zidan, 39, yang mengetengahkan kreativiti dengan menggarap solekan Jalur Gemilang pada wajah keluarganya atau pelanggan.
Katanya, solekan perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana bimbang kesilapan melukis warna akan merosakkan bendera negara atau Jalur Gemilang.
Katanya, pengalaman merias ribuan wanita sudah pasti ia memberikan penghasilan cukup sempurna walaupun hanya mengadunkan secalit gincu, bedak asas dan segaris celak, namun cukup memberikan kesan ‘wow’ kepada wanita.
“Pada awalnya saya tidak yakin untuk menghasilkan solekan Jalur Gemilang di wajah kerana ia bukan sesuatu yang mudah.
“Paling rumit adalah pada bahagian bintang yang mempunyai 14 bucu, namun saya menggunakan pengalaman yang ada untuk mencantikkannya.
“Biasanya saya mengambil masa selama tiga jam dengan menggunakan alat solekan khas untuk memastikan solekan yang dihasilkan adalah yang terbaik,” katanya ketika ditemui dibutiknya, di sini.
Ibu kepada empat cahaya mata berusia 8 hingga 15 tahun ini berkata, sebagai rakyat Malaysia dan lahir selepas merdeka, dia mahu mencipta kelainan setiap kali menyambut Bulan Kemerdekaan dengan menata rias wajah dengan Jalur Gemilang.
Katanya, sebelum pandemik Covid-19, suaminya, Mohd Harmizi Mahmood, 44, turut menerima tempahan untuk menjahit pakaian merdeka.
“Sebelum pandemik, hampir setiap tahun saya dan suami akan mendapat jemputan daripada pihak sekolah untuk menata rias wajah pelajar dengan solekan Jalur Gemilang.
“Ketika itu, kita boleh merasai bahang sambutan Hari Kemerdekaan kerana masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk menzahirkan semangat patriotik.
“Dahulunya seawal jam 6 pagi sebaiknya tiba Hari Kebangsaan, butik kami akan dipenuhi dengan anak-anak yang mengenakan kostum ditempah dan kini kami mencari kelainan dengan membuat solekan Jalur Gemilang pada wajah dan berkongsi menerusi laman sosial Facebook dan juga aplikasi Tik Tok,” katanya yang juga pembantu tadbir perkeranian dan operasi Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.
Sumber: My Metro