Tiga kali enam beranak bermalam dalam kereta

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

HULU TERENGGANU: Pasangan suami isteri yang merupakan peniaga air kelapa muda di Kampung Bukit Ara di sini terpaksa membawa empat anak yang masih kecil bermalam dalam kereta di tepi jalan selepas diminta keluar dari rumah sewa pada Mei lalu.

Pengalaman getir itu dilalui keluarga berkenaan selama tiga malam berturut-turut sebelum Mohd Fairuz Mohd Zulkifli, 35, dan Nurul Nafisah Mohd, Juha,27, berjaya mengumpul duit untuk menyewa kediaman baharu di Kampung Kuala Menjing.

Nurul Nafisah berkata, sebelum ini keluarganya menetap di Wakaf Tapai di Marang, namun diminta keluar oleh tuan rumah kerana kegagalan membayar sewa bulanan sebanyak RM300.

Katanya, selama sebulan mereka menumpang di rumah keluarga sebelum mengambil keputusan berpindah walaupun belum memiliki rumah sewa dan keadaan kewangan yang menghimpit.

“Kami tiada pilihan selain terpaksa membawa anak-anak berusia antara dua hingga tujuh tahun bermalam dalam kereta di lokasi gerai dan hasil duit jualan serta sedikit simpanan kami berjaya mencari rumah baharu yang lebih murah dengan sewa RM130 sebulan.

“Keadaan pada masa itu agak mencabar kerana hampir dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Diperketatkan (PKPD) Kuala Berang, namun kami berterima kasih kerana pihak polis memahami situasi,”katanya.

Menurut Nurul Nafisah, selain air kelapa muda, antara hidangan lain yang dijual ialah ayam goreng RM1 dan jelly kelapa dengan purata pendapatan antara RM50 hingga RM100 sehari.

Dalam pada itu, katanya, cahaya mata kedua, Muhammad Adam Irfan Daniel, 6, mengalami masalah saluran pundi kencing dan kekangan kewangan membataskan mereka membawanya menjalani rawatan susulan.

Sumber: Utusan Malaysia