Tiga lagi PKRC bakal dibuka di luar Kota Bharu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Kelantan mengenal pasti tiga lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) untuk dibuka berikutan peningkatan kes mendadak sehingga mencecah lebih 900 sehari.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob berkata, tiga PKRC terbaharu itu berada di Kuala Krai, Pasir Puteh dan Machang, memandangkan kekangan lokasi yang dihadapi di daerah ini.

Katanya, pihaknya sudah mengadakan lawatan tapak di lokasi berkenaan sama ada ia bersesuaian atau tidak termasuk dari segi kemudahan fasiliti.

“Memandangkan banyak PKRC sudah dibuka di Kota Bharu dan hampir semua dewan utama sudah digunakan, kita terpaksa mencari PKRC di daerah lain yang dirasakan sesuai untuk menempatkan mereka yang positif Covid-19 dari seluruh Kelantan.

“Kita perlu mengambil pendekatan drastik untuk mengenal pasti PKRC, memandangkan kes Covid-19 di negeri ini meningkat mendadak.

“Jika sebelum ini setiap PKRC yang dibuka mengambil masa tiga hari untuk penuh, namun situasi hari ini sebaliknya apabila setiap PKRC yang dibuka sudah penuh dalam masa sehari sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PKRC Dewan Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara Kelantan (JKKN) di Tanjung Chat di sini, hari ini.

Mengulas mengenai PKRC Dewan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan (JKKN), Dr Mohd Azman berkata, ia mampu memuatkan 220 katil termasuk katil bertingkat serta berperanan sebagai PKRC khas, sebagaimana PKRC Gelanggang Seni.

“PKRC JKKN ini akan menempatkan pesakit Covid-19 tahap tiga yang dipindahkan dari hospital selepas keadaan stabil, memandangkan permintaan wad di hospital tidak mencukupi.

“PKRC ini mempunyai kelengkapan perubatan dan dijangka memulakan kemasukan pesakit, Selasa ini,” katanya.

Pada masa sama katanya, PKRC yang ke-14 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) juga sudah mula beroperasi hari ini dan mampu memuatkan 300 pesakit.

“Kita akan memfokuskan asrama kolej atau sekolah yang sudah mempunyai kemudahan asas untuk dijadikan PKRC kerana kita tidak mahu mengambil masa yang lama sebelum beroperasi,” katanya.

Sumber: My Metro