Tiga Lelaki Ditahan Cuba Seludup Mercun Daripada Kelantan ke Johor

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA KRAI – Polis menahan tiga lelaki selepas menemukan 97 kotak berisi mercun dan bunga api bernilai RM45,000 dalam lori yang dinaiki mereka dalam perjalanan ke Johor, di Jalan Batu Jong, di sini Ahad lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, ketiga-tiga lelaki berumur 24, 32 dan 57 tahun itu ditahan oleh Unit Kereta Peronda (MPV) yang sedang membuat rondaan di lokasi berkenaan pada pukul 3.30 petang dan mereka didapati mempunyai barangan tersebut di kawasan tepi jalan di Kota Bharu.

“Mereka disyaki cuba mengangkut mercun dan bunga api ke selatan tanah air dengan upah RM1,600. Difahamkan suspek utama berusia 57 tahun telah membayar RM800 kepada pemandu serta kelindannya dan bakinya selepas barangan berjaya dihantar ke lokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam persidangan media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di sini hari ini, dan turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun dan Ketua Polis Kuala Krai, Supt Suzaimi Mohamad.

Tambah beliau lagi, kesemua suspek tanpa rekod jenayah lampau itu direman selama empat hari sehingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 jika disabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber: BERNAMA