Tiga Peniaga Kenakan Pembelian Bersyarat Berdepan Tindakan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Tiga peniaga berdepan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 selepas didapati mengenakan pembelian bersyarat untuk minyak masak paket satu kilogram kepada pengguna.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengambil tindakan selepas hasil pemeriksaan ke atas peniaga masing-masing seorang di Bachok, Pasir Mas dan Tanah Merah.

Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, bagi mengesan aktiviti terbabit, anggota penguat kuasa telah melakukan penyamaran sebagai pembeli selama tiga hari yang berakhir semalam.

Katanya, pihaknya mendapati tiga peniaga berkenaan mengenakan syarat supaya pengguna membuat pembelian barangan runcit lain sebelum dapat membeli minyak masak bersubsidi.

“Operasi itu hasil maklumat orang awam dan risikan dijalankan ke atas beberapa premis yang disyaki menjual barangan runcit dan mengenakan pembelian bersyarat ke atas mana-mana barangan runcit atau borong bagi pembelian satu kilogram minyak masak paket bersubsidi.

“Kita akan mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mengenakan syarat tidak sah dalam penjualan barangan kawalan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut sama ada mereka akan dikenakan kompaun atau sebaliknya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, sekiranya dituduh mahkamah dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu. Manakala, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan kepada mana-mana perbadanan jika sabit kesalahan.

Adnan berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya menjalankan pemeriksaan rutin, hasil aduan awam atau arahan daripada Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya ke atas 68,897 premis dan mengeluarkan sebanyak 903 tindakan di bawah pelbagai akta.

Katanya, dalam pemeriksaan itu pihaknya telah merampas pelbagai barangan kes dengan nilai lebih RM3 juta.

“Selain itu, sebanyak 717 tindakan kompaun berjumlah RM497,350 dikenakan terhadap peniaga yang melanggar perundangan di bawah akta-akta yang ditetapkan KPDNHEP termasuk Akta 342.

“Kita juga menerima sebanyak 693 aduan secara rasmi menerusi sistem e-aduan dan siasatan dijalankan dengan segera. Pada masa sama, empat kes yang dituduh di mahkamah dikenakan denda keseluruhan sebanyak RM22,800,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO