Tiga Remaja Antara Empat Individu Ditahan Terlibat Kegiatan Along

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Tiga remaja termasuk seorang perempuan antara empat individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen (along), di sini Rabu lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kesemua remaja berusia 19 tahun dan seorang wanita berusia 35 tahun itu, di tahan di lokasi berasingan sekitar bandar ini.

“Tangkapan dilakukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan ketika menjalankan Op Vulture di sekitar bandar Kota Bharu.

“Ketika melakukan operasi ini, pegawai dan anggota kami terserempak dan menahan dua remaja lelaki di sebuah bank di bandar Kota Bharu,” katanya pada sidang media di IPK Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki berkata hasil pemeriksaan mendapati suspek disyaki menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen.

“Susulan tangkapan itu, kita berjaya menahan remaja perempuan dan wanita berusia 35 tahun tersebut di dua lokasi berasingan kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan tersebut.

“Hasil siasatan mendapati suspek akan melakukan pengeluaran wang daripada akaun bank mangsa pada hari kemasukan gaji,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut merampas wang tunai RM44,740, 26 keping kad mesin juruwang automatik (ATM), 46 keping resit transaksi pengeluaran wang, empat telefon bimbit pelbagai jenama dan dokumen lain.

Menurutnya permohonan tahanan reman ke atas semua suspek dibuat hari ini untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang Tanpa Lesen 1951.

— BERNAMA