KOTA BELUD: Tiga rumah dilaporkan rosak manakala 66 lagi dikhuatiri roboh selepas dilanda ombak ekoran fenomena air pasang besar, tengah malam tadi.
Dalam kejadian di Kampung Buah Pandai jam 12 tengah malam itu, ketiga-tiga rumah atas air berkenaan mengalami kerosakan lantai termasuk sebuah lagi beranda rumah dilaporkan roboh.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.05 tengah malam.
Katanya, sepasukan 18 anggota dan pegawai bersama jentera, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan pacuan empat roda serta lori terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Kebanyakan rumah di perkampungan berkenaan terancam berikutan fenomena air pasang besar.
“Dianggarkan sebanyak 66 rumah lagi turut terancam selain 10 peratus kerosakan pada keseluruhan jambatan di kampung berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua mangsa sudah berpindah ke rumah saudara mara manakala sebahagian kecil pula berpindah ke Masjid Kampung Buah Pandai.
Katanya, pemantauan masih dijalankan oleh pasukan operasi bomba di sekitar lokasi kejadian.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan ketika ini keadaan air laut dilihat semakin surut.
“Pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.18 pagi ” katanya.
Sumber: METRO