KOTA BHARU – Kini, terdapat tiga sungai utama di Kelantan masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Sungai Kelantan di Temangan, Machang.
Menurut laman web, https://publicinfobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang terus meningkat kepada 10.52 meter (m) berbanding 10.41 m, semalam.
Ini berikutan keadaan hujan lebat berserta angin menyebabkan paras air naik dan beberapa kampung berdekatan Sungai Golok dilanda banjir.
Selain itu, paras Sungai Golok di Jenob dengan bacaan 24.47 m dan Sungai Kelantan di Kampung Temangan (21.34 m).
Tiga sungai lain melepasi paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai (24.21 m), Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah (15.86 m) dan Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, Kota Bharu (4.10 m). Manakala, terdapat enam sungai lagi melepasi paras waspada.
Jabatan Meteorologi (METMalaysia) semalam, mengeluarkan amaran hujan berterusan (bahaya) dijangka berlaku di negeri Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh sehingga hari ini. Selain itu, hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Jeli dan Kuala Krai dalam tempoh 24 jam.
Sumber: HARIAN METRO