Tiga Tokoh Islam Yang Hebat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Terdapat ramai tokoh Islam yang memberikan sumbangan yang besar kepada dunia meskipun dunia sudah pun moden dan berbeza dari era semasa mereka hidup. Malah terdapat juga tokoh Islam yang mendapat pengiktirafan oleh dunia barat dan ilmu mereka menjadi asas kepada amalan yang diamalkan pada hari ini.

Berikut merupakan tiga tokoh Islam yang tersohor dan boleh mendidik anak-anak di rumah supaya menjadi seperti mereka.

IBNU SINA

Ibnu Sina atau Avicenna adalah seorang tokoh ilmuwan Islam yang terkenal. Malah hasil kajian dan tulisan beliau menjadi rujukan utama bagi masyarakat di Barat dan di Eropah. Nama sebenar beliau adalah Abu Ali Al-Huseyn bin Abdullah bin Hassan Ali bin Sina. Beliau dilahirkan pada 375 Hijrah bersamaan 985 Masihi dan berbangsa Parsi.

Ibn Sina merupakan seorang saintis hebat dalam bidang perubatan. Selain itu, beliau juga ilmuwan hebat dalam ilmu falsafah. Di antara penemuan beliau yang terhebat adalah:

1. Beliau berjaya menulis buku yang bertajuk Remedies for The Heart yang di dalamnya terdapat sajak-sajak mengenai perubatan dan 760 jenis penyakit serta penawar untuk penyakit tersebut.

2. Beliau menjalankan kajian terhadap tubuh manusia yang dikenali sebagai anatomi. Ibn Sina mendapati bahawa jantung manusia mengandungi 3 injap yang akan terbuka dan tertutup dengan sendirinya semasa jantung mengepam darah.

3. Beliau terkenal kerana memperkembangkan ilmu diagnosis melalui kadar denyutan jantung untuk mengenal pasti ketidakseimbangan hormon dalam tubuh badan seorang pesakit untuk pulihkan pesakit yang menghidap masalah sakit jiwa.

KHWARIZMI

Khwarizmi atau nama sebenar beliau adalah Muhammad Ibn Musa Al-Khwarizmi. Beliau berketurunan Parsi seperti Ibnu Sina dan berasal dari kawasan yang bernama Khwarizm, dari situlah beliau mendapat nama. Berikut merupakan sumbangan Khwarizmi kepada dunia ialah:

1. Beliau ialah ilmuan matematik di Bait ak-Himah (House of Wisdom) yang diasaskan oleh Khalifah al-Ma’mun pada zaman pemerintahan Kerajaan Islam Abbasiyyah.

2. Beliau seorang ahli astronomi dan juga ahli geografi di Bait al-Hikmah.

3. Beliau adalah pengasah kepada perkembangan dalam ilmu algebra dan juga trigonometri yang kita gunakan pada hari ini.

AL-FARABI

Al-Farabi atau nama sebenar beliau adalah Abu Nasr Mohammad Ibn Al Farakh al-Farabi. Beliau dilahirkan di sebuah kampung kecil yang dinamakan Wasij berdekatan Farab di Turkistan pada tahun 870. Beliau seorang saintis terkemuka Islam. Penulisannya sangat terkenal terutamanya dalam bidang falsafah, logik dan sosiologi iaitu:

1. Buku bertajuk Ara Ahl-Madina Al-Fadila yang merupakan sebuah buku tentang sosiologi yang terkenal dan masih digunakan sehingga ke hari ini.

2. Kitab Al-Musiqa iaitu sebuah buku tentang muzik. Al-Farabi adalah seorang pakar seni dan sains muzik yang telah berjaya mencipta beberapa peralatan muzik dan mencipta nota muzik.

3. Dalam bidang Fizik, beliau merupakan orang pertama yang menjumpai kewujudan konsep kekosongan.

Berikut merupakan antara sumbangan tokoh-tokoh ini yang boleh diceritakan kepada anak-anak anda di rumah. Sebenarnya terdapat banyak lagi sumbangan tokoh-tokoh ini yang sangat berguna kepada manusia. Semoga perkongsian kali ini bermanfaat buat anda sekeluarga.

Sumber: BIDADARI.MY