SUBANG JAYA: Rangkaian pemborong dan peruncit terbesar tempatan, Mydin terus menyokong usaha kerajaan bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat menerusi pengenalan inisiatif Mydin Rahmah.
Mydin Rahmah dilihat sebagai inisiatif yang baik bukan sahaja dapat membantu rakyat yang memerlukan untuk pembelian barangan keperluan dan sambutan perayaan, malah mampu meningkatkan jualan gedung beli-belah berkenaan.
Pengarah Urusan Mydin Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, terdapat tiga tonggak utama dalam inisiatif Mydin Rahmah itu.
Menurutnya, yang pertama adalah Menu Rahmah dan di Mydin kebiasaannya mempunyai satu menu yang sentiasa ditukar setiap hari bagi memberi kepelbagaian selera kepada pembeli di Bahagian Ready To Eat.
“Menu yang ditawarkan pula dijual pada harga RM2.50 untuk sarapan pagi dan RM4.90 untuk satu set menu makan tengah hari dan malam supaya pembeli mampu untuk menikmati juadah yang kita sediakan.
“Bezanya pada Ramadan kali ini, bazar Ramadan Rahmah menawarkan pelbagai pilihan juadah menu Rahmah yang dijual pada harga di bawah RM4.90,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya memahami bahawa orang ramai memerlukan atau mencari pelbagai menu untuk berbuka puasa ketika Ramadan.
“Jadi, kami tawarkan harga yang mampu milik untuk makanan lain seperti kuih-muih yang dijual pada harga RM2.50 supaya mereka yang memerlukan dapat menikmati kemanisan berbuka puasa seperti golongan yang berkemampuan,” katanya.
Menurutnya, inisiatif kedua Mydin Rahmah pula adalah Jualan Rahmah iaitu barangan keperluan yang mendapat permintaan tinggi pengguna dan dijual pada harga amat berpatutan.
“Contohnya pada Ramadan ini, kita tahu baju raya sempena Aidilfitri pastinya menjadi buruan ramai dan Mydin menyediakan kira-kira 10,000 pasang baju Melayu dan baju kurung untuk semua peringkat usia.
“Harga yang tawarkan pula untuk setiap pasang adalah serendah RM30 berbanding harga asal untuk baju Melayu dewasa dijual pada harga RM79 atau kanak-kanak RM59, tetapi kami menjualnya pada harga yang cukup berpatutan,” katanya.
Ameer berkata, meskipun harga yang ditawarkan amat berbaloi untuk dimiliki tetapi dari segi kualiti, Mydin sentiasa memastikan ia dalam keadaan bermutu dan mengikut trend semasa.
“Menjual pada harga rendah bukan bermakna tidak berkualiti, tetapi kami ingin membantu orang ramai menikmati keindahan sambutan Syawal dengan membeli pakaian raya pada harga yang berbaloi,” katanya.
Mengenai inisiatif ketiga Mydin Rahmah, Ameer berkata, pihaknya akan menyumbang Bakul Rahmah berbentuk barangan keperluan dengan nilai keseluruhan RM100,000 untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
“Kami bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menyalurkan Bakul Rahmah ini kepada golongan berkenaan kerana pihak mereka lebih mengetahui latar belakang individu atau keluarga yang layak menerimanya,” katanya.
Menurutnya, pihaknya melihat inisiatif Mydin Rahmah itu bukan sekadar dilaksanakan sempena Ramadan, tetapi boleh diteruskan pada masa akan datang.
Jelasnya, inisiatif itu dilihat sebagai tanggungjawab sosial korporat yang mampu memberi pulangan semula kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dan banyak menyokong Mydin.
“Mydin berharap inisatif yang digerakkan bersama rakan rakan strategik kami ini mampu mengukir senyuman dan meringankan kos perbelanjaan golongan terbabit.
“Pelancaran inisiatif ini sempena Ramadan yang bakal menjelma tidak lama lagi adalah bertepatan kerana ketika itu ramai antara kita yang kurang berkemampuan memerlukan bantuan untuk menyambut perayaan dan dalam masa sama bulan ini adalah bulan yang mulia untuk kita bersedekah,” katanya.
Jelasnya lagi, dia juga berharap lebih banyak syarikat korporat akan mengambil langkah yang sama untuk membantu rakyat yang memerlukan.
“Saya amat berharap lebih banyak rakan-rakan korporat yang lain turut serta dalam aktiviti amal seperti ini kerana berkongsi keuntungan dengan orang lain adalah perkara yang baik.
“Saya juga percaya sebenarnya pada ketika ini sudah ada banyak syarikat korporat yang mengambil langkah sama untuk memberi pulangan semula kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Sumber: METRO HARIAN