Tiket Aksi Malaysia-Thailand Habis Dijual

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Tidak sampai sehari penjualan dibuka, semua tiket bagi aksi separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini habis dijual.

Perkembangan itu disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi akaun media sosialnya, sebentar tadi.

“59,000 tiket habis terjual. Terima kasih kepada penyokong Harimau Malaya yang telah membeli tiket bagi menyaksikan perlawanan Separuh Akhir 1, Malaysia lawan Thailand.

“Tiada lagi sebarang penjualan tiket tambahan, sama ada secara dalam talian atau di kaunter tiket stadium,” kata badan induk itu.

Meskipun gelanggang rasmi skuad kebangsaan itu mampu memuatkan lebih 80,000 penyokong, namun hanya 59,000 boleh ditawarkan kepada penyokong bagi menyaksikan perlawanan terbabit.

Ini kerana 21,000 tempat duduk terpaksa ‘dikosongkan’ kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan. Konsert penyanyi berkenaan dijadual 15 Januari ini.

“Situasi ini tidak dapat dielakkan yang mana FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sudah berusaha sedaya upaya mencari jalan penyelesaian terbaik.

“(Bagi) memastikan aksi skuad Harimau Malaya di sepanjang kempen Piala AFF 2022 tetap dapat dilangsungkan di Stadium Nasional berbanding jika ia diadakan di stadium lain yang berkapasiti lebih kecil,” kata kenyataan FAM, semalam.

Sumber : BERITA HARIAN