Tinggal Puasa Dengan Sengaja – Jangan Dipandang Ringan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Ada beberapa sebab yang membenarkan seseorang muslim meninggalkan puasa. Antaranya ialah wanita yang berada dalam keadaan haid dan nifas, wanita yang melahirkan dan sedang menyusu anaknya, individu yang sakit dan uzur yang menyebabkan dia tidak mampu berpuasa serta orang yang musafir.

Golongan ini diberi kelonggaran dalam penunaian ibadah puasa di bulan Ramadan. Mereka boleh berpuasa apabila keadaan mengizinkan seperti si ibu yang sudah tamat tempoh menyusu atau individu yang sudah sembuh.

Namun, puasa yang telah ditinggalkan tadi perlu diganti semula mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia merupakan hutang dengan Allah yang wajib dilangsaikan. Jika tidak mampu, mereka boleh membayar fidyah.

Bagi mereka yang meninggal sebelum sempat menggantikan puasa, maka warisnya boleh menggantikan puasa ke atasnya atau membayar fidyahnya.

Namun, buat mereka yang berniat meninggalkan puasa secara sengaja tanpa melibatkan alasan yang kukuh, apakah hukum dan status mereka?

Syeikh Ibnu Utsaimin RA berkata – “Membatalkan puasa Ramadan pada siang hari tanpa alasan yang kukuh dan jelas adalah dosa besar. Maka, orang tersebut dianggap fasik dan diwajibkan untuk bertaubat kepada Allah serta mengganti puasa dengan bilangan hari yang ditinggalkannya.” (Majmu’ Fatwa dan Rasa’il Ibn Utsaimin: 89)

Puasa Ramadan merupakan salah satu daripada rukun Islam. Ia merupakan perkara fardu yang wajib yang dilaksanakan sama seperti amalan solat wajib.

Maka, menurut pendapat jumhur ulama, sesiapa yang meninggalkan puasa dalam bulan Ramadan dengan sengaja tanpa rukhsah yang membenarkan, maka ia dikira sebagai dosa besar.

Ia bukan perkara yang boleh dibuat main kerana ia adalah termasuk dalam rukun yang perlu dipatuhi. Justeru, apabila menganggap puasa di bulan Ramadan sebagai sesuatu perkara yang ringan, ubahlah perspektif anda dengan segera.

Bahkan, jika anda menggantikan puasa yang ditinggalkan itu, amalan dan statusnya sudah tidak sama dengan berpuasa di bulan Ramadan. Sama juga jika anda meninggalkan solat.

Setiap ibadah yang ditentukan pada waktu-waktu tertentu mempunyai fadilat yang tersendiri. Anda sudah tidak dapat merasai aura Ramadan apabila menggantikan puasa pada bulan lain.

Sumber: TZKRH.COM