Tiupan Angin Kerap Berubah, Jerebu Tak Akan Berpanjangan – Metmalaysia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan situasi jerebu di negara ketika ini tidak akan berpanjangan berikutan tiupan angin yang kerap berubah.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata jika jerebu berterusan dan keadaan kualiti udara semakin merosot, iaitu bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 151 hingga 200 melebihi 24 jam, kementerian melalui METMalaysia bersedia untuk melakukan Operasi Pembenihan Awan.

Ia akan dilakukan di bawah penyelarasan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), tertakluk kepada keadaan atmosfera yang sesuai.

“Kementerian melalui METMalaysia menyediakan ramalan sehingga lima hari pergerakan jerebu rentas sempadan yang dijana menggunakan Model Ramalan Pergerakan Jerebu iaitu Hybrid Single-Particle Lagrangian Integrated Trajectory (HYSPLIT) dan Copernicus Atmospheric Monitoring Service (CAMS) kepada jabatan dan agensi berkaitan.

“Hasil ramalan pergerakan jerebu juga dimaklumkan kepada orang awam melalui laman web MET Malaysia di http://bencana.met.gov.my,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan berkenaan situasi jerebu yang melanda negara di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, Nik Nazmi memaklumkan sehingga 30 September lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerima 3,922 aduan kes pembakaran terbuka, dengan 80 peratus membabitkan kes pembakaran sampah.

“Terdapat enam kes pembakaran terbuka berskala besar di Semenanjung dan Sabah antara Mac hingga Julai 2023, membabitkan tiga kes kebakaran tanah gambut dan tiga kes di tapak pelupusan sampah, yang menyebabkan jerebu setempat,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, berdasarkan pemantauan JAS, bilangan titik panas dalam negara berkurangan secara signifikan iaitu 714 titik panas pada 2023, berbanding 2,091 titik panas pada 2019 dan 2,652 titik panas pada 2015 (bagi tempoh Januari hingga Oktober), yang mana negara berdepan jerebu merentas sempadan pada ketiga-tiga tahun itu.

“Penurunan bilangan titik panas ini adalah impak positif aktiviti penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan JAS bersama agensi lain yang berkaitan bagi membanteras insiden pembakaran terbuka,” katanya.

– BERITA HARIAN