TNB Pahang buka semula 368 pencawang elektrik

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pahang membuka semula 368 pencawang elektrik yang sebelum ini ditutup sementara susulan bencana banjir besar berlaku di 10 daerah di negeri ini.

Pengurus Besar TNB Negeri Pahang Datuk Baderul Sham Saad berkata, membuka semula pencawang itu dilakukan secara berperingkat selepas banjir di semua daerah hampir surut sepenuhnya.

Menurutnya, walaupun banjir masih berlaku di daerah Pekan berikutan air termenung namun ia tidak menjejaskan operasi 15 pencawang elektrik yang sebelum ini ditutup sementara kerana ditenggelami banjir.

Katanya, pihak TNB sedang menilai jumlah kerugian dialami terutama apabila terdapat pencawang elektrik ditenggelami banjir, sebanyak 368 pencawang ditutup sementara bukan semua ditenggelami banjir sebaliknya kerana terputus hubungan.

“Bagi menjaga kepentingan pengguna supaya tidak terus tertekan ketika banjir berlaku, pencawang elektrik yang dihenti tugas atau ditutup sementara dalam tempoh panjang diberikan bekalan sementara melalui set janakuasa mudah alih.

“Daerah Temerloh mencatat jumlah tertinggi pencawang elektrik ditutup sementara iaitu sebanyak 95 diikuti Lipis (73), Raub (71), Jerantut (45), Maran dan Jengka (35), masing-masing 16 di Kuantan serta Bera termasuk 15 di Pekan, satu di Rompin dan Bentong,” katanya di sini, hari ini.

Beliau memuji kecekapan kakitangan TNB yang berjaya menjalankan tugas dengan berkesan sepanjang bencana banjir berlaku, mereka bertugas 24 jam bagi memastikan tidak berlaku gangguan elektrik terutama membabitkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Baderul Sham berkata, lebih membanggakan terdapat kakitangan TNB terus bertugas sedangkan rumah mereka sendiri ditenggelami banjir, perkara ini amat jarang berlaku dan kesungguhan mereka itu seharusnya mendapat pujian.

Katanya, kejadian banjir kali ini menyebabkan 54 rumah kakitangan TNB di beberapa daerah ditenggelami banjir, justeru pihak syarikat tampil menyalurkan bantuan segera berupa barangan keperluan asas dan wang tunai.

“Usaha jangka panjang TNB untuk memastikan pencawang elektrik di negeri ini tidak terus ditenggelami banjir pada masa akan datang ialah dengan cara menaik taraf, tindakan berkenaan akan dilakukan secara berperingkat mengikut kesesuaian dan kos yang perlu ditanggung.

“Projek berkenaan pernah dilakukan selepas bencana banjir pada 2014, hanya dengan cara itu sahaja kes membabitkan pencawang elektrik ditenggelami banjir dapat dikurangkan,” katanya.

Sumber: My Metro