KUALA LUMPUR – Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya menyekat hajat Terengganu Hockey Team (THT) yang mengimpikan gelaran trebel musim ini, apabila mereka muncul juara Piala TNB dalam aksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam ini.
TNB menewaskan THT 3-2, meskipun THT berjaya bangkit dari ketinggalan 2-0 namun hanya mampu berpuas hati menjulang Piala Sumbangsih dan muncul juara Liga Hoki Malaysia (MHL).
Skuad TNB kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin, bermula cemerlang dengan beberapa cubaan seawal suku pertama bagi menguji gawang gol THT.
Manakala THT bermula dengan agak perlahan apabila terpaksa bertahan dengan asakan hebat daripada pasukan TNB.
Usaha TNB akhirnya membuahkan hasil apabila TNB mengejutkan THT dengan jaringan pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, pada minit ke-18.
Tersentak dengan jaringan pihak lawan, THT di bawah kendalian Roslan Jamaluddin cuba mencari ruang menjaringkan gol, namun tidak berhasil sehingga menjengah suku ketiga perlawanan.
TNB yang terus mempamerkan permainan menyerang sekali lagi menghukum THT dengan jaringan kedua, hasil pukulan sudut penalti Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-39 menjadikan kedudukan 2-0 buat TNB.
THT menjadikan permainan lebih menarik apabila bangkit menyumbat dua gol jaringan padang Muhammad Marhan Mohd Jalil dan Ismail Abu masing-masing pada minit ke-49 dan ke-50 perlawanan, bagi menjadikan kedudukan 2-2.
Tidak mahu mengheret perlawanan ke penentuan pukulan penalti, TNB merobek gol THT di saat akhir hasil jaringan padang Muhammad Amirul Hamizan Azhar pada minit ke-60, untuk mencatat kemenangan 3-2 serta muncul juara Piala TNB.
Sumber: UNIT BERITA MANIS FM