Kuala Berang: Tokan dadah dan dua ‘orang suruhannya’ ditahan bersama dadah jenis heroin dan pil kuda bernilai hampir RM2,000 dalam Ops Jihad Dadah di ladang kelapa sawit di Kampung Padang Setar di sini, semalam.
Tokan berusia 35 tahun bersama dua lelaki berusia 38 dan 39 tahun itu ditahan pasukan Jihad Dadah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu dalam serbuan pada 4 pagi.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, serbuan dilakukan pihaknya susulan maklumat mengenai aktiviti dadah di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pihaknya terlebih dahulu membuat pemantauan terhadap sebuah khemah yang berada di ladang kelapa sawit berkenaan.
“Dalam serbuan itu, kita menahan tiga lelaki yang ketika itu sedang khayal di dalam khemah berkenaan sebelum pemeriksaan ditemukan satu beg berzip.
“Pemeriksaan lanjut ditemukan tiga botol plastik lut sinar dengan setiap satunya berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin yang dianggarkan seberat 15.38 gram dan dua tiub penyedut minuman berisi lapan biji pil kuda yang dianggarkan seberat 1.02 gram dengan rampasan bernilai RM1,880.
“Tiga suspek bersama barang kes yang dirampas kemudiannya dibawa ke IPD Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut,” katanya.
Mohd Adli berkata, tiga suspek yang positif dadah jenis heroin dan methamphetamine juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah sebelum ini.
Katanya, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek adalah penagih tegar dadah jenis heroin dan pil kuda dengan suspek pertama yang masih bujang adalah tokan kepada penagih di kawasan kampung berhampiran, manakala suspek kedua dan ketiga yang juga seorang duda.
“Tiga suspek kini direman sehingga 2 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sumber: My Metro