Tommy Azam Balas Kepercayaan NSFC

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SEREMBAN: Pemain lincah, Tommy Mawat Bada mahu membalas kepercayaan diberikan pengurusan Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan membantu pasukan itu melakar pencapaian lebih baik dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pemain berusia 28 tahun itu yang menjadi sebahagian daripada anggota baharu skuad Hobin Jang Hobin, akui semangatnya membara malah yakin dengan tahap prestasinya selepas mendapat bimbingan barisan kejurulatihan pasukan diketuai K Devan.

Malah, bekas pemain Sabah FC dan Sarawak United itu sudah bersedia untuk memperagakan aksi cemerlang dalam saingan Liga M musim ini, selepas diuji dalam beberapa siri aksi persahabatan.

“Menjadi hasrat utama saya ingin membalas kepercayaan kelab yang menerima saya dalam pasukan ini. Hasrat utama adalah untuk membantu meletakkan pasukan Negeri Sembilan sebagai pencabar terkuat dalam Liga M musim ini.

“Seterusnya memastikan kami dapat melakar kejayaan cemerlang sama ada dalam Liga Super, Piala FA mahupun Piala Malaysia.

“Meskipun saingan Liga Super kali ini dijangka lebih mencabar dengan penampilan keseluruhan 14 pasukan, namun saya yakin dan percaya pasukan mampu mengulangi pencapaian musim lalu untuk berada di kelompok empat terbaik liga,” katanya di sini, hari ini.

Kehadiran Tommy pastinya dapat menambah kekuatan terutama di bahagian serangan Negeri Sembilan kerana pemain berpengalaman dengan memiliki ketangkasan dan kepantasan larian itu, sudah semestinya mampu memberi kesan dalam misi menembusi benteng lawan.

Bagi Tommy, dia yakin dengan persiapan pasukan, malah kemampuan skuad itu dilihat terserlah berdasarkan keputusan positif dicapai dalam siri aksi persahabatan setakat ini.

“Setakat ini, persiapan pasukan nampak lancar, tambahan pula semua tiga pemain import sudah berada dalam pasukan.

“Malah, keserasian antara pemain juga amat positif kerana pemain senior seperti Mahali Jasuli dan Zaquan Adha banyak bagi tunjuk ajar kepada saya dan rakan-rakan lain.

“Bagi saya, pasukan dalam momentum yang baik untuk memulakan cabaran dalam liga. Kami akan berusaha mendapatkan keputusan yang baik dalam setiap perlawanan dan kekalkan keputusan itu sepanjang saingan,” katanya yang mengharapkan penyokong memberikan sokongan padu kepada pasukan itu sepanjang musim ini.

Negeri Sembilan yang menamatkan kempen Liga M musim lalu di tangga keempat carta Liga Super bakal memulakan cabaran menentang Sri Pahang FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 26 Februari ini.

Sumber: METRO HARIAN