Tottenham Ikat Liverpool di Anfield

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LIVERPOOL –  Jurgen Klopp berkata Liverpool tidak boleh berputus asa dalam pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris selepas seri 1-1 menentang Tottenham walaupun sukar untuk mengharapkan Manchester City tercicir mata.

Skuad kendalian Klopp hanya mengatasi City menerusi perbezaan jaringan selepas gagal mengutip mata penuh di Anfield buat pertama kali sejak Februari.

City kendalian Pep Guardiola boleh memintas kembali dan melebarkan jurang kepada tiga mata apabila mereka melayan kunjungan Newcastle di Etihad malam ini.

“Ia mata yang penting tetapi kita semua tahu situasinya sekarang. Kami di puncak liga sekarang dan jika kami dan City tewas semua perlawanan sekarang memang bagus, tetapi ia tidak akan berlaku.

“Saya ingin duduk di sini dan berkata City akan tercicir mata, tetapi masalahnya saya tidak nampak ia akan berlaku,” kata Klopp.

Keputusan seri itu meletakkan Tottenham hanya satu mata di belakang Arsenal yang menghuni tangga keempat, tetapi peluang mereka untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas kini bergantung kepada jika Arsenal tercicir mata dalam dua daripada empat perlawanan terakhir mereka.

Son Heung-min meletakkan Spurs di depan pada minit ke-56 tetapi Luis Diaz menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki 16 minit.

“Ia bukan mudah untuk bermain pada saat ini menentang pasukan hebat dalam suasana menakjubkan. Mereka mempunyai banyak tenaga walaupun bermain setiap tiga hari.

“Mereka berhak dengan apa yang mereka capai musim ini. Mendapatkan keputusan bagus memang positif tetapi kami kecewa kerana terlepas peluang meraih kemenangan,” kata pengendali Tottenham Antonio Conte. 

Liverpool yang sudah menjuarai Piala Liga musim ini, akan berdepan Chelsea pada final Piala FA hujung minggu depan dan final Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid di Paris pada 28 Mei. 

Sumber: BERITA HARIAN