Tour Gateh D’Tranung 2022 : Medan Kumpul Bakat Baharu Sukan Berbasikal

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Penganjuran Kejohanan Tour Gateh D’Tranung 2022 yang akan berlangsung selama lima hari, bermula esok menjadi medan bagi mencungkil bakat-bakat baharu dalam arena sukan berbasikal.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah menyifatkan, kejohanan yang kembali diadakan selepas 11 tahun itu bakal membuka peluang bakat-bakat baru menyerlah dalam arena berbasikal tempatan dan antarabangsa.

“Ramai atlet-atlet berbasikal negara yang telah berjaya dilahirkan melalui Program Pembangunan Berbasikal Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) seperti Mohd Azizulhasni Awang, Fatehah Mustafa, Anuar Manan, Mohd Zamri Salleh, Mohd Harrif Salleh, Mohd Adiq Husaini Othman, Amir Mustaffa Rosli serta permata baharu iaitu Nur Aishah Mohd Zubir dan Mohamad Nur Aiman Mohd Zarif.”

“Melalui penganjuran Acara Berbasikal seperti Jelajah Terengganu inilah nama-nama besar tersebut dapat dikenalpasti seterusnya dibawa dan diangkat ke peringkat lebih tinggi.”

“Penganjuran antara kejohanan berbasikal tertua di Malaysia ini pertama kali dianjurkan secara dwi tahunan sebagai kejohanan Jelajah Terengganu sejak pada tahun 1984 dan berakhir pada tahun 2011.”

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Memperkenalkan Penaja & Pasukan ‘Tour Gateh D’Tranung’ yang dirasmikan Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Kejohanan dianjurkan negeri Terengganu itu selaras salah satu teras utama dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030) bagi menjadikan Terengganu sebagai ‘Negeri Kayuhan Basikal’.

Reputasi Terengganu sebagai antara pengeluar terbesar jaguh berbasikal negara berjaya menarik penyertaan 26 pasukan tempatan termasuk dua pasukan daripada Singapura bagi penganjuran tersebut.

Tour Gateh D’Tranung akan bermula esok dari Pantai Batu Buruk ke Jerteh bagi peringkat pertama dan berakhir di peringkat keempat di Kemaman pada Khamis ini, sebelum perlumbaan ‘Night Criterium’ yang akan berlangsung di Drawbridge pada Jumaat malam.

Sepanjang Kejohanan itu berlangsung boleh ditonton secara langsung di laman Facebook ‘Tour Gateh D’Tranung’

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM