MACHANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun maut selepas kereta dinaiki bersama keluarga terbabit kemalangan di Kilometer 36.8 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, di sini, pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.15 pagi ketika Perodua Kancil dipandu bapa mangsa dalam perjalanan untuk menghadiri hari keluarga di Kem Desa Pahlawan di Bukit Cina, dekat sini, bertembung dengan sebuah kenderaan lain yang dikatakan terbabas.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata siasatan awal mendapati Perodua Myvi dipandu seorang wanita berusia 28 tahun yang bertugas sebagai doktor hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Kancil dari arah Machang.
“Kemalangan menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, Wan Muhammad Raziq Haikal Wan Mohd Sham Suhaimi, yang juga penumpang Perodua Kancil cedera parah dan maut di tempat kejadian.
“Mayat mangsa yang juga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Merah di Machang kemudian dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat,” katanya.
Mohd Adli berkata, pemandu dan penumpang Perodua Kancil yang lain, selain wanita yang pemandu Perodua Myvi hanya mengalami kecederaan ringan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.
Sumber: BERITA HARIAN