‘Transporter’ ditahan bersama daun ketum lebih RM45,000

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Bentong: Upah lumayan untuk menyerahkan daun ketum kepada penerima dengan selamat dipercayai menyebabkan seorang pemandu lori nekad membuat penghantaran berkenaan.

Bagaimanapun, aktiviti licik suspek terbongkar apabila lori dipandunya ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Bentong menghala ke Kuantan, dekat sini, pada 8.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menahan lori tiga tan dipandu lelaki berusia 28 tahun selepas didapati dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan di bahagian belakang lori itu menemukan sejumlah bungkusan dipercayai mengandungi daun ketum.

“Hasil siasatan menemui sebanyak 17 guni besar berwarna biru di dalamnya berisi daun ketum seberat 470 kilogram (kg), 243 bungkus plastik berwarna kuning berisi daun ketum ( 225 kg), 15 bungkus plastik berwarna hitam berisi daun ketum (150 kg) dan enam bungkus plastik berwarna merah berisi daun ketum (120 kg).

“Selain itu, terdapat empat bungkus plastik berwarna putih berisi daun ketum (80 kg) dan 25 kotak pelbagai saiz di dalamnya berisi daun ketum (460 kg) dengan nilai keseluruhan berat dianggarkan 1,505 kg.

“Berikutan itu, kesemua daun ketum bernilai lebih RM45,000 dirampas manakala pemandu lori ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal juga mendapati kesemua daun ketum terbabit dibawa dari utara Semenanjung dengan sebuah lori pada 19 Jun lalu.

Katanya, lori berkenaan mengalami kerosakan ketika tiba di Rawang, Selangor lalu muatan daun ketum kemudian dipindahkan ke lori lain dan digantikan oleh pemandu lain.

“Pemandu yang ditahan mendakwa dibayar wang pendahuluan sebanyak RM1,500 manakala baki RM1,500 akan dibayar apabila serahan barang berjaya dibuat.

“Pihak polis mendapati suspek tidak mengetahui dengan siapa akan membuat penyerahan kerana akan dihubungi lelaki bernama ‘Sham’ sebaik tiba di Kuantan untuk membuat serahan.

“Suspek yang mempunyai lima rekod jenayah berkaitan kes dadah direman empat hari mulai hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

Katanya, polis turut merampas lori berkenaan bersama wang tunai RM1,900 dan usaha mengesan lelaki bernama ‘Sham’ sedang giat dilakukan.

Sumber: My Metro