BENTONG – Identiti mangsa kedua yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah treler terbabas ke dalam gaung di Kilometer (KM) 42.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak hala ke Bentong pada Isnin telah dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa dikenali Shamsol Yaakob, 40, selepas pengecaman dilakukan oleh pihak keluarga di Hospital Bentong.
Dalam kejadian tersebut, mangsa bersama pemandu, Norazuat Mokhtar, 39, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sebelum ini, Zaiham memberitahu, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.50 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati treler yang membawa muatan besi buruk dipandu mangsa dari Bukit Kemuning, Klang menghala ke Kuantan.
“Apabila sampai di lokasi, pemandu gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke dalam gaung.
“Kejadian menyebabkan kedua-duanya maut di tempat kejadian,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
– SINAR HARIAN