Treler Terjunam Dalam Gaung, Pemandu Maut, Anak Dan Isteri Cedera

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BENTONG – Seorang pemandu treler maut, manakala isteri dan anaknya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke dalam gaung di Kilometer (KM) 43.3 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur, dekat sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Mohamad Hasrul Abdul Halim,33, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala selepas tersepit di bahagian hadapan treler, manakala isterinya yang berusia 41 tahun dan anak lelaki berusia lima tahun dirawat di Hospital Bentong.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada kira-kira jam 4 pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati treler muatan pasir dipandu Mohamad Hasrul bersama isteri dan anak lelaki mereka dalam perjalanan dari Taiping, Perak menuju ke Terengganu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian yang juga kawasan selekoh, treler itu dikatakan hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan lalu terbabas serta terjunam ke dalam gaung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaiham berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

“Kita juga menasihatkan orang ramai supaya memandu dengan berhemah dan berhati-hati terutama ketika melalui Kilometer 40 hingga Kilometer 45 lebuh raya itu bagi mengelak terbabit kemalangan,” katanya.

– BERITA HARIAN