TSG Buru Hatrik Nombor Satu Asia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Pasukan berstatus benua, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) berada pada landasan terbaik untuk mencipta gelaran hatrik nombor satu Asia dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) musim ini.

Malah pasukan berpangkalan di Kuala Terengganu itu juga berpeluang untuk memperbaiki ranking lebih baik dalam pasukan benua UCI berbanding menamatkan saingan ketiga pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, sasaran untuk mengekalkan gelaran ‘gergasi Asia’ adalah realistik memandangkan ketika ini TSG mendahului pasukan lain.

“Sekarang kita berada di penghujung musim, kedudukan terkini kita mendahului pasukan terbaik Asia daripada 51 pasukan yang bertanding.

“Begitu juga pasukan benua terbaik dunia daripada 179 pasukan, kita berada di kedudukan pertama manakala keseluruhan dunia kita berada di tangga ke-32 daripada 215, maknanya kita juga berpeluang untuk memperbaiki kedudukan lebih baik dunia berbanding di ranking ke-31 tahun lalu.

“Kita akan cuba pertahankan kedudukan ini sehingga akhir musim bagi memastikan TSG mampu merangkul gelaran hatrik ranking Asia dan nombor satu benua berbanding ketiga pada musim lalu,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan sebelum kalendar UCI menutup tirainya pada 25 Oktober ini, TSG masih berbaki 10 perlumbaan lagi yang perlu dilalui di Eropah dan Asia.

“Setakat ini berbaki 10 lagi perlumbaan UCI bertaraf 2.1, 1.2 dan 2.2 yang kita akan sertai iaitu di Eropah dan Asia untuk kita memburu seberapa banyak mata lagi bagi mengukuhkan kedudukan di tangga teratas.

“Lagipun kita berada pada landasan terbaik untuk meneruskan momentum kemenangan dan mengekalkan kedudukan sebagaimana musim lalu, terkini pasukan kedua adalah dari Jepun dengan perbezaan 180 mata dalam saingan Asia manakala untuk ranking benua, kita bersaing dengan pasukan dari Colombia,” katanya.

– BERITA HARIAN