TSG Terima Tajaan Bernilai RM 11 Juta bagi Menghadapi Perlumbaan Musim 2023

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
sumber foto: MEDIA MB TERENGGANU

KUALA TERENGGANU – Pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) mencatat sejarah  tersendiri apabila menerima penajaan terbesar sejak penubuhan iaitu bernilai lebih RM11 juta bagi menghadapi perlumbaan bagi musim 2023.

Tajaan tersebut melibatkan 24 syarikat dalam dan luar negara seperti Jepun Taiwan, Indonesia dan Singapura serta kerajaan negeri yang turut serta menyokong TsG sebagai penaja musim ini.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan, kepercayaan para penaja itu adalah hasil pencapaian membanggakan TSG menjuarai pelbagai peringkat pada musim 2022.

“Saya percaya itu (penajaan) merupakan satu pengiktirafan kepada pasukan ini. Apabila pencapaian baik, tentulah ramai yang ingin menaja.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua penaja dan saya percaya bahawa TSG telah membawa nama para penaja ke peringkat antarabangsa dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Memperkenalkan Pelumba dan Penaja TSG di Hotel Permai, semalam.

Tambahnya, pasukan TSG akan terus mempamerkan aksi terbaik bagi musim 2023.

“Yang pentingnya, TSG atau Terengganu sendiri kini dilihat sebagai ‘branding’ bagi sukan berbasikal.

“Mana-mana kita pergi orang sering mengaitkan kita dengan sukan berbasikal.

“Kita berharap, suatu masa nanti kita mampu menghantar pelumba kita ke peringkat tertinggi Tour de France,” katanya.

TSG akan membuka tirai kejohanan dengan menyertai Tour of Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bertaraf 2.2 bermula 27 hingga 31 Januari ini dan pelumba yang bakal menyertai perlumbaan pertama itu akan diumumkan tidak lama lagi,

Untu rekod, TSG dinobatkan sebagai Juara Jelajah Asia UCI pada tahun lepas dengan memenangi 118 podium dan berjaya menempatkan diri di kedudukan ke-31 dunia daripada 212 pasukan profesional.

Bahkan, TSG turut merampas kedudukan ketiga pasukan Benua Dunia UCI daripada 178 pasukan.

– UNIT BERITA MANIS FM