Tuah yang memihak kepada Harimau Malaya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon memuji anak-anak buahnya yang mempamerkan permainan baik namun mengakui tuah turut memainkan peranan kemenangan ke atas Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF di Yangon, kelmarin.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, apa yang lebih penting ialah kejayaan membawa pulang tiga mata penuh ke tanah air menjelang perlawanan kedua menentang Laos, Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Bukan mudah sebenarnya untuk kami bermain di tempat lawan dengan keadaan padang, cuaca, waktu dan banyak lagi faktor yang tidak menyebelahi kami.

“Kami sedar pertemuan menentang Myanmar bukan mudah kerana tiada siapa pun yang mahu tumpas di depan keluarga mereka sendiri.

“Jadi, kami sedar mereka akan mempamerkan semangat juang yang tinggi menentang kami,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan berkesudahan Malaysia menang 1-0 ke atas tuan rumah di Stadium Thuwunna, kelmarin.

Menurut Pan Gon, pemainya telah memberikan tindak balas yang baik kepada corak permainan keras Myanmar.

Jelasnya, walaupun Harimau Malaya tidak bermain cantik tetapi apa yang lebih penting ialah kemampuan mereka mengawal keadaan.

“Walaupun kemenangan ini turut dibantu dengan tuah, saya masih perlu berterima kasih kepada para pemain kerana memulakan perlawanan pertama dengan keputusan positif,” ujarnya.

Pan Gon memberitahu, skuad bimbingannya masih ada masa untuk memperbaiki mana-mana kelemahan menjelang perlawanan menentang Laos.

Pengendali dari Korea Selatan itu juga enggan menuding jari ke atas mana-mana pemain di atas kesilapan individu dalam aksi menentang Myanmar kerana mereka berjaya mengatasinya secara berpasukan.

Mengulas pula mengenai kecederaan, Pan Gon berkata, beliau akan meneliti perkara itu dengan pasukan perubatan dan buat masa ini, tiada apa yang perlu dibimbangkan.

Sumber: UTUSAN