Tuchel Bengang Pengadil ‘Mesra’ Ancelotti

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Madrid – Jurulatih Chelsea, Thomas Tuchel membidas tindakan pengadil dari Poland, Szymon Marciniak yang berbual ‘mesra’ dengan pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti.

Karim Benzema meledak gol kemenangan pada masa tambahan untuk menyingkirkan Chelsea dengan agregat 5-4 dan membawa gergasi Liga Sepanyol itu ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

Sejurus tiupan wisel terakhir, Tuchel berkata: “Saya kecewa pengadil mempunyai masa yang banyak dengan Carlo.

“Saya tahu dia baik dan budiman tetapi ketika mahu mengucapkan terima kasih kepadanya, saya melihat dia tersenyum dan ketawa dengan kuat bersama jurulatih lawan dan bagi saya ia detik yang sangat buruk.

“Selepas 120 minit melihat pasukan anda berjuang sehingga ke saat terakhir, bagi saya tindakan itu salah dan saya memberitahunya.

“Saya berasakan dalam kedua-dua perlawanan, 51 peratus keputusan tidak memihak kami.”

Tuchel turut mempersoalkan pembatalan jaringan Marcos Alonso pada babak kedua yang didakwa terkena tangan terlebih dahulu sekaligus menghampakan skuadnya.

Tuchel berang Marciniak tidak memeriksa monitor tepi padang tetapi akur itulah yang berlaku apabila menentang Real Madrid.

Pengendali dari Jerman itu berkata: “Saya kecewa pengadil tidak memeriksanya terlebih dahulu dan itulah yang akan berlaku apabila anda menentang Real Madrid di Liga Juara-Juara.”

Sumber: HARIAN METRO