Tuchel Puji Kane Kemunculan Sulung ‘Memukau’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BREMEN, Jerman – Pengurus Bayern Munich, Thomas Tuchel memuji penyerang England, Harry Kane selepas penampilan sulungnya dalam Bundesliga berakhir dengan kemenangan 4-0 ke atas Werder Bremen di tempat lawan awal pagi tadi.

Tuchel, yang berusaha gigih membawa kapten England itu ke Munich, menyanjung tinggi penyerang itu yang menjaringkan satu gol dan mencipta satu umpanan gol pada aksi pertamanya dalam Bundesliga.

“Dia mempunyai pengaruh yang berterusan,” kata bekas pengurus Chelsea itu, “dia jelas amat bijak dan bergaya.”

“Dia tahu apa yang dilakukannya dan ketepatannya juga mengagumkan.”

Kane melakukan hantaran bagi jaringan Leroy Sane selepas hanya tiga minit sebelum dia menambah gol kedua pada pertengahan babak kedua apabila menyudahkan hantaran Alphonse Davies dengan satu sepakan leret mengelirukan penjaga gol lawan.

“Juga ketika latihan, gaya dan cara dia melakukannya di padang, bagaimana keinginan kuatnya ketika latihan, bagaimana keterujaan dipamerkannya serta kualiti dimilikinya, ia jelas terbaik, dia mengagumkan.”

Kane hadir sebagai penjaring gol terbanyak Tottenham dan England tetapi Tuchel berkata, kreativiti dan derianya ketika perlawanan terserlah.

“Dia membuatkan setiap pemain di sekitarnya lebih bagus kerana tahap kewaspadaannya.

“Ia satu penampilan sulung yang terlalu bagus.”

Sebelum menandatangani kontrak bersama Munich Sabtu lalu, Kane menghabiskan sepanjang kariernya di Tottenham.

– BERITA HARIAN