PETALING JAYA: Kehadiran dua bekas tonggak Sri Pahang, Lee Tuck dan Manuel Hidalgo yang memperkuatkan cabaran Kedah Darul Aman (KDA) FC mampu menjadi ‘duri dalam daging’ buat Tok Gajah apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi Liga Super di Kuantan malam ini.
Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad percaya, pasukannya perlu lebih agresif jika mahu menewaskan Kedah, sambil waspada dengan ancaman yang bakal dihadirkan Tuck dan Hidalgo.
“Kedah sebuah pasukan yang seimbang di bahagian serangan, tengah dan pertahanan.
“Kita juga harus meningkatkan tahap berjaga-jaga kerana mereka memiliki dua pemain yang dekat dengan Sri Pahang (Tuck dan Hidalgo).
“Kami perlu lebih agresif terutama dalam melakukan serangan untuk memberi tekanan kepada lawan,” katanya.
Selepas lima perlawanan, Sri Pahang belum kalah dan menduduki tangga kelima dengan sembilan mata. Kedah pula di tempat ketiga menerusi 12 mata.
Dalam perlawanan malam ini, Fandi dijangka mempertaruhkan Lucas Silva dan Kpah Sherman untuk merobek gawang lawan.
Sementara itu, pengendali Kedah, Nafuzi Zain mahu Sang Kenari menjadi kelab pertama melebur rekod tanpa kalah Sri Pahang musim ini.
“Sasaran kita adalah mendapatkan tiga mata apabila berdepan Sri Pahang FC tetapi kita tahu itu bukan satu tugas yang mudah dan saya anggap mencabar buat kami yang akan beraksi di tempat lawan.
“Bagi merealisasikan misi kemenangan, kami perlu meningkatkan permainan, bersedia sebaiknya kerana Sri Pahang belum pernah tewas musim ini.
“Mereka juga berkongsi mata dengan pasukan yang berada dalam kelompok pasukan teratas seperti Sabah FC dan Selangor FC,” kata Nafuzi.
Nafuzi percaya, dua kemenangan terakhir ke atas Kelantan United dan Kuching City meletakkan moral pemainnya dalam keadaan terbaik untuk berdepan lawan di Kuantan.
Sumber: UTUSAN