Tugas Getir Garrido Ubah Wajah B-23

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) yang baharu, Juan Torres Garrido kini berada dalam detik penting untuk membentuk perancangan terbaik buat skuad itu bagi menghadapi kejohanan yang akan datang.

Prestasi skuad B-23 negara menjadi pasukan kedua yang ditumpukan oleh seluruh peminat bola sepak tanah air selepas skuad senior Harimau Malaya.

Harimau Malaya B-23 di bawah bimbingan E Elavarasan pernah dikritik hebat susulan kegagalan di Sukan SEA Kemboja dan Piala AFF B-23 tahun ini sebelum mereka berjaya melepasi kempen kelayakan untuk ke pusingan akhir Piala Asia B-23 tahun hadapan.

Justeru, harapan tinggi sudah pasti diletakkan ke atas bahu Garrido ketika ini untuk membawa perubahan besar terutama dari aspek persembahan corak permainan barisan pemain muda negara di atas padang.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman memberi bayangan bahawa perancangan pasukan B-23 akan diserahkan sepenuhnya kepada Garrido.

Beliau berkata, dengan pelantikannya kelmarin, maka bermulanya tugas buat Garrido untuk memacu Harimau Malaya B-23 ke landasan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Setakat ini belum ada perancangan lagi (untuk skuad B-23). Selepas pelantikan jurulatih dan bermulanya tugas beliau, bermakna bermulalah perancangan yang akan dibuat bersama dengan barisan kejurulatihan yang lain,” katanya.

Lebih menarik, Garrido akan bekerjasama dengan bekas pemain kebangsaan, Shukor Adan yang dilantik sebagai penolong jurulatih skuad B-23.

Garrido harus pantas melakukan perancangan kerana dia dilihat tidak mempunyai masa yang lama apabila skuad B-23 akan menghadapi kejohanan besar Piala Asia B-23 di Qatar, April tahun depan.

– BERITA HARIAN