Tumpas kegiatan lombong emas haram

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Lipis: Pejabat Hutan Daerah (PHD) menyekat kegiatan melombong emas secara haram di Kompartmen 86, Hutan Simpan Ulu Jelai, Mukim Batu Yon, di sini semalam.

Pegawai PHD Lipis, Nor Shahrini Nordin Ahmad berkata, serbuan di kawasan carigali terbabit menemui tapak khemah sindiket dipercayai dianggotai empat hingga enam individu.

Menurutnya, pemeriksaan turut mendapati kegiatan melombong emas di situ masih baharu dilakukan dan kesan aktiviti mengambil pasir dan mengorek batu dalam sungai masih berada pada peringkat awal serta kerosakan permukaan tanah masih sedikit namun suspek sudahmeninggalkan tempat itu.

Katanya, kesan penggunaan jentera pada tahap tidak serius dan pencemaran air sungai yang kebiasaanya berlaku tidak dikesan masyarakat setempat sebelum ini.

“Pemeriksaan di sekitar kawasan terbabit menemui jengkaut dan lori hantu yang digunakan untuk memindahkan pasir serta batu. Mereka menyimpan jentera berkenaan di Kompartmen 80 Hutan Simpan Ulu Jelai kira-kira dua kilometer dari kawasan aktiviti melombong.

“Turut ditemui di situ palong besi yang digunakan untuk kegiatan melombong emas. Sindiket terbabit menjadikan Hutan Simpan Ulu Jelai sebagai lokasi kegiatan mereka berikutan kawasan di situ dipercayai mengandungi galian emas yang tinggi,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, kes kali ini adalah kejayaan pertama PHD Lipis tahun ini. Tahun lalu lima kes dikesan dan beberapa individu ditahan.

Katanya, difahamkan terdapat sindiket menggunakan kemudahan moden untuk mengesan kedudukan kawasan jajaran emas menyebabkan mereka mengeluarkan modal besar unuk menyediakan kelengkapan seperti palong, jentera dan enjin pam air.

“Kita bertindak menyita hasil penemuan termasuk dua jentera dan proses membawa keluar mengambil masa lebih 12 jam untuk disimpan di pusat simpanan barangan rampasan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Batu 18 Tersang, Raub.

“Mereka yang ditahan melakukan kegiatan melombong emas secara haram dalam hutan simpan akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.

Sumber: My Metro