Tumpat Bakal Dilanda Banjir, Penduduk Diminta Segera Pindah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TUMPAT – Penduduk di jajahan ini yang tinggal di kawasan rendah dinasihatkan supaya bersiap sedia untuk berdepan banjir ekoran keadaan air Sungai Golok dan Kelantan mengalir turun ke muara.

Ditambah lagi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini boleh menyebabkan banjir boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, penduduk yang tinggal di kawasan rendah serta berisiko dinasihatkan untuk berpindah segera jika diarahkan berbuat demikian.

“Kami tidak mahu bila tiba malam, air sudah melimpah ke dalam rumah baru hendak berpindah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Katanya, situasi tersebut akan menyukarkan penugasan pihak berkuasa untuk melakukan operasi menyelamat.

Katanya lagi, situasi itu turut mendedahkan anggota penyelamat dan mangsa banjir kepada bahaya ekoran cuaca yang gelap.

Beliau berkata, polis berharap agar penduduk dapat memberikan kerjasama sekali gus memudahkan urusan menyelamat.

Sementara itu portal ebanjirkelantan.gov.my menunjukkan paras air Sungai Golok di Kuala Jambu, Pengkalan Kubor di sini sudah melepasi paras amaran iaitu 2.65 meter berbanding normal 0.7 meter.

Sumber: SINAR HARIAN