MARANG – “Insya-Allah malam ini kita boleh tahu siapa calonnya,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika diajukan soalan mengenai calon bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
Beliau berkata, semua pihak tidak perlu menunggu lama kerana jawapan bagi semua kerusi yang dipertandingkan di Terengganu akan dimaklumkan malam ini.
Ditanya sama ada beliau akan dicalonkan di kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Samsuri menjawab, perkara itu masih menjadi tanda tanya.
Mengulas adakah beliau bersedia bertanding di kerusi Parlimen, Ahmad Samsuri berkata, hal itu bukan urusan beliau dan sebarang keputusan adalah kehendak parti.
Parti yang memberi amanah kepada saya, apa juga tugas yang diamanahkan akan saya laksanakan.
“Jika dicalonkan terserah pada parti (sama ada) bertanding atau tak..apa-apa pun tunggu malam ini.. grand finale (keputusan akhir) adalah malam ini,” katanya selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Pembangunan Rumah Mampu Milik Dan Bercampur di Kampung Alor Limbat, dekat sini, hari ini.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu diadakan selepas kemenangan calon PAS, Datuk Ahmad Amzad Hashim, dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya atas dakwaan wujudnya unsur rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) November lalu.
Pada PRU-15 lalu, Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, mempertahankan kerusi terbabit yang dimenangi pada PRU-14 dengan majoriti 40,907 undi.
Bagaimanapun kemenangan itu dicabar oleh Barisan Nasional (BN) menerusi petisyen yang difailkan di mahkamah.
PRK Parlimen Kuala Terengganu turut diadakan serentak dengan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai ini dan hari mengundi awal pada 8 Ogos ini.
Ahmad Samsuri yang terus diajukan soalan sama ada lebih selesa bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, berkata perkara itu tidak perlu ditanya kepada individu.
“Kalau tanya individu ada macam-macam hasrat. Di hati saya.. saya nombor 10.
“Yang pertama adalah keperluan perjuangan, parti, masyarakat, kehendak negeri dan negara, kehendak rakyat semua…itu nombor satu sampai nombor 9.. diri saya ini di nombor 10 sudahlah,” katanya.
Ahmad Samsuri berkata, nombor 10 sudah tidak penting dan beliau tidak kisah diletakkan di mana saja untuk bertanding kerana yang lebih penting adalah keputusan parti.
– BERITA HARIAN