Tunggu polisi KKM untuk vaksin pelajar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Seramai 139,000 pelajar di negeri ini bakal menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK) yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, jumlah itu diperolehi menerusi data Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), membabitkan pelajar berusia 12 hingga 17 tahun.

Katanya, angka berkenaan belum menyeluruh kerana terdapat kemungkinan ada nama dalam kalangan pelajar tiada dalam sistem persekolahan.

“Pelaksanaan suntikan kepada pelajar berusia 18 tahun ke bawah ini akan dijalankan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan polisi.

“Kementerian (KKM) hari ini ada satu perbincangan dan akan mengeluarkan polisi suntikan vaksin itu. Pihak kita sedang menunggu polisi yang akan dikeluarkan.

“Insya-Allah kita akan mula menyuntik mereka yang di bawah usia 18 tahun di pusat pemberian vaksin (PPV) sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, dari segi kesiapsiagaan, pihaknya bersama JPN, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua pihak yang terbabit sudah bersiap sedia.

“Jika sekolah dibuka seperti yang dijangka (3 Oktober), kita mungkin akan menyedia atau membuka PPV di sekolah untuk memudahkan suntikan vaksinasi kepada pelajar,” katanya.

Sumber: My Metro