Tuntutan Penjagaan Alam Sekitar dalam Islam

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

                                  

Islam merupakan agama yang syumul dan meliputi semua aspek kehidupan. Ini bermaksud Islam tidak terhad kepada ibadat semata-mata, namun turut meliputi hak sosial, bidang politik , ekonomi dan sebagainya termasuk alam sekitar.

Apabila menyentuh alam sekitar, isu ini sebenarnya bukanlah satu isu yang ringan bahkan perlu diambil cakna dengan sebaiknya. Sebagai Muslim, tanggungjawab menjaga alam sekitar bertambah besar kerana Islam sangat mementingkan hidupan alam sekitar. Alam sekitar ini meliputi flora, fauna, iklim, hutan , lautan dan sebagainya.

Firman Allah S.W.T  dalam Surah Al Baqarah ayat 222:

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّٰبِينَ وَيُحِبُّ ٱلۡمُتَطَهِّرِينَ 

Maksudnya : SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.(pembersih)

“Dari Abu Malik al-As’hari berkata : Sabda Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Kebersihan itu sebahagian daripada iman.” Riwayat Imam Muslim

Kebersihan yang merupakan sebahagian daripada iman, kurang dipraktikkan amalnya dalam kehidupan.

Mencontohi Kemajuan Alam Sekitar Negara Luar

Dalam aspek akidah yang mengikut kerangka barat, semestinya kita tidak boleh bertoleransi. Namun, dari sudut sosial yang memberi manfaat, tidak salah untuk kita mengambil iktibar dan mencontohi tindakan mereka.

Selepas zaman pencerahan, prestasi negara barat mula meningkat naik dan mereka menjadi sebuah negara maju. Negara mereka cantik bukan kerana faktor geografi semata-mata namun turut disebabkan penjagaan alam sekitar secara bersungguh-sungguh.

Paling utama mereka sangat mengedepankan isu alam sekitar. Rakyat mereka menjaga alam sekitar bukan kerana dipaksa tetapi kerana memang kesedaran mereka. Kerajaan turut berperanan penting dengan menggalakkan rakyat kitar semula dan memberikan insentif apabila rakyat kitar semula sehingga ada sebahagian penduduk yang dapat menjana pendapatan dengan mengutip sampah seperti di Sweden.

Di bahagian negara Asia, Jepun adalah sebuah negara yang terkenal dengan kebersihan. Rakyat mereka diwajibkan untuk membuang sampah mengikut kategori yang ditetapkan setiap hari dan mereka mematuhinya. Lori sampah pula tidak berbau jadi jika kereta kita berada di belakang lori sampah, kita tidak perlu menutup hidung.

Situasi ini sangat berbeza dengan negara majoriti Islam. Bukan hanya di Malaysia, negara di Timur tengah juga begitu yang mana tempat seperti di Bumi Mesir agak kotor, Kawasan pelancongan seperti di di Piramid Gaza dipenuhi banyak najis kuda dan unta yang berbau. Disebabkan situasi ini , seorang pemikir Islam pernah berkata,

Syeikh Mohammad Abduh : “Aku melihat Islam (di Eropah), tapi tidak melihat Muslim. Dan aku melihat Muslim (di Mesir/negara Arab) tetapi aku tidak melihat Islam”.

Bagaimana Menjaga Alam Sekitar

Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia bukanlah negara yang sepenuhnya penuh kekotoran namun kadar kebersihannya masih banyak yang perlu ditingkatkan. Berdasarkan laporan dari kajian Tabung Alam Sedunia (WWF),  Malaysia merupakan negara pengguna plastik yang ke-2 terbesar di rantau Asia dengan purata setiap individu menggunakan 16.78kg plastik setahun.

Laporan bertajuk “Kajian Penilaian Skim EPR untuk Pembungkusan Sisa di Malaysia” menunjukkan angka itu jauh lebih banyak daripada negara dengan penduduk lebih ramai, termasuk China, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam berdasarkan jumlah sampah yang dihasilkan. Semakin banyak sampah yang dihasilkan, semakin banyak pembuangan yang tidak terurus. Sampah ini akan memasuki laut-laut yang menganggu sistem rantaian laut. Bahkan tidak sedikit haiwan yang masti akibat termakan plastik kerana menyangka plastik itu makanan mereka.

Manusia yang diciptakan di atas muka bumi telah dijadikan khalifah di atas muka bumi. Peranan sang khalifah adalah mengamalkan amar ma’ruf, nahi mungkar iaitumenyeru kepada kebaikan dan mengelakkan manusia kepada kemungkaran dan kejahilan.

Dalam konteks alam sekitar ini, menyeru kepada menjaga kebersihan adalah satu amal kebaikan. Bagaimana situasi ini hendak diterjemahkan kepada realiti? Berikut merupakan sedikit tips untuk menjaga alam sekitar :

  1. Membeli barang yang perlu sahaja. Semakin banyak yang kita membeli, semakin banyak barang yang kita akan buang. Amalan ini juga dapat mengelakkan pembzairan kerana hakikatnya ramai yang membeli barang bukan atas dasar keperluan, tetapi kerana emosi.
  • Menjadikan sisa makanan seperti kulit sayur dan buah sebagai baja kompos. Cara ini bahkan dapat mengelakkan sampah berbau.
  • Membanyakkan penanaman sayuran di Kawasan rumah. Ia bukan sahaja mampu menjimatkan wang, tetapi tanaman hijau ini mampu bersihkan udara di sekeliling.
  • Mengamalkan amalan berbasikal ke tempat kerja atau menggunaan kenderaan awam agar kuranyanya pelepasan asap enjin di jalanan yang akan menyumbang kepada pencemaran udara.
  • Mengurangkan penggunaan air yang tidak perlu agar tidak banyak sisa air yang perlu dirawat.
  • Mengasingkan sampah mengikut kategori. Asingkan barang yang boleh dikitar semula dan hantar semula ke tempat kitar semula.

6 tips ini antara yang dipegang dan diamalkan bersungguh di negara maju. Ringkasnya, alam sekitar tidak memerlukan proses yang banyak, namun memerlukan tindakan yang bersungguh-sungguh. Kerja sebagai Muslim di negara Muslim masih banyak. Kita perlu memberi lebih banyak pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat agar mereka lebih cakna akan alam sekitar.