Turkiye Kejutkan Tuan Rumah Euro 2024

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BERLIN: Pelawat Turkiye mengejutkan tuan rumah Euro 2024, Jerman 3-2 pada aksi persahabatan antarabangsa awal pagi tadi sekali gus menjejaskan perlawanan sulung jurulatih Julian Nagelsmann di laman sendiri selepas mengambil alih jawatan itu pada September lalu.

Jerman, yang berusaha membentuk pasukan mantap bagi kejohanan tahun depan di negara sendiri, masih jauh perjalanan mereka dengan kelemahan di benteng pertahanan menjadi kebimbangan utama.

Turkiye, yang sudah layak ke Euro 2024, kelihatan tajam dengan dibantu sokongan beribu-ribu penyokong mereka di Stadium Olimpik, namun tuan rumah mengendurkan tekanan selepas bermula cemerlang dan mendahului awal.

Nagelsmann, yang mengambil alih daripada Hansi Flick, menikmati kemenangan pada perlawanan sulungnya ke atas Amerika Syarikat Oktober lalu sebelum seri dengan Mexico.

“Kami patut menamatkan cabaran lawan dalam tempoh 10 minit pertama,” kata Nagelsmann. “Namun dari minit ke-25 hingga rehat kami tidak melakukan apa-apa.

“Kami perlu bermain pada tahap yang sama, setiap pemain perlu melakukannya. Kemudian kualiti akan hadir menerusi perlawanan.”

Jerman mendahului pada minit kelima apabila pemain tengah menyerang Kai Havertz, yang beraksi sebagai pertahanan kiri, menyempurnakan hantaran Leroy Sane di depan 70,000 penonton.

Pelawat menggunakan kesempatan susulan kesilapan pertahanan tuan rumah untuk menyamakan kedudukan menerusi rembatan padu Ferdi Kadioglu yang menyambut hantaran Abdulkerim Bardakci pada minit ke-38.

Turkiye mendahului menerusi bekas pemain remaja Bayern Munich, Kenan Yildiz pada masa kecederaan babak pertama selepas pemain berusia 18 tahun itu tidak dikawal di penjuru gol.

Niclas Fuellkrug menyamakan kedudukan empat minit selepas rehat dengan rembatan leret susulan larian solo Florian Wirtz bagi gol ke-10 buatnya dalam 12 perlawanan bersama Jerman namun Turkiye enggan berpuas hati dengan seri.

Rembatan Salih Ozcan singgah di palang dan mereka menerima sepakan penalti pada minit ke-70 susulan kesilapan Havertz memegang bola dan Yusuf Sari mudah menyempurnakannya.

Jerman berdepan Austria awal pagi Rabu ini dalam satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa. – REUTERS