Turunkan 50 peratus harga durian Tok Litok

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jerantut: Seorang peniaga buah-buahan warga emas, Mariam Wahab terpaksa menurunkan harga durian popular di daerah ini, Tok Litok sebanyak 50 peratus berikutan kekurangan pelanggan.

Mariam, 67, yang juga ibu kepada tujuh anak berusia antara 42 hingga 23 tahun berkata, setiap kali musim durian, dia menjual durian Tok Litok yang cukup popular di Jerantut selain durian kampung kerana raja buah itu adalah hasil tanaman penduduk Kampung Besul sejak 30 tahun lalu.

Katanya, keistimewaan durian Tok Litok kerana buahnya mempunyai empat pangsa kecil, isi tebal kekuningan, lemak manis, bijinya kemek dan tidak melekat di jari ketika makan.

“Selain menjual hasil kebun sendiri, saya memborong durian daripada pekebun di sini memandangkan sebelum ini pasaran buah ini cukup laris.

“Lagipun pekebun di sini tidak mampu memasarkan durian ini ke bandar Jerantut kerana ada persaingan dengan peniaga lain yang menjual pelbagai jenis durian klon seperti Musang King, duri hitam, 101 dan D24.

“Bagaimanapun, saya tidak menyangka durian Tok Litok yang memang terkenal di seluruh Pahang sejak 1980-an, kurang mendapat pasaran sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PK) dilaksanakan, tahun lalu,” katanya yang berniaga di gerai kecil di hadapan rumahnya di Kampung Besul.

Mariam berkata, sebelum ini dia mampu menjual durian Tok Litok sebanyak 500 hingga 600 kilogram sehari, tetapi sejak PKP dilaksanakan, dia hanya menjual tidak sampai 200kg sahaja.

Menurutnya, bagi melariskan jualan durian itu, dia menurunkan harga durian Tok Litok daripada RM15 ke RM8 sekilogram dan durian kampung hanya RM4 sekilogram.

“Sejak minggu lalu kaedah pasaran berubah kepada cara jualan longgok kerana berlaku lambakan buah durian dan kini pelanggan boleh membeli tiga longgok dengan harga RM50.

“Sekiranya tidak dijual secara longgok sudah tentu durian berlambak di gerai mula pecah, berair dan busuk serta dihurung serangga.

“Jualan secara longgok hanya untuk menghabiskan buah yang ada di gerai ini walaupun tidak balik modal langsung apatah lagi untuk berbelanja barang keperluan dapur,” katanya yang sudah 23 tahun berniaga buah-buahan.

Sumber: My Metro