Twitter Ancam Saman Meta Kerana Threads

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

WASHINGTON – Twitter mengancam untuk menyaman Meta selepas syarikat induk Instagram itu melancarkan Threads, iaitu aplikasi yang diharapkan dapat mengalahkan laman sosial yang dimiliki oleh Elon Musk.

Dalam surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerbeg, yang diterbitkan oleh saluran berita dalam talian, Semafor, semalam, peguam Musk, Alex Spiro, menuduh syarikat itu melakukan penyelewengan serta menyalahi undang-undang rahsia perdagangan Twitter dan harta intelek lain.

Beliau turut menuduh Meta mengupah puluhan pekerja Twitter yang mempunyai akses terus kepada rahsia perdagangan Twitter serta maklumat sulit yang lain.

Aplikasi Threads adalah pencabar terbesar kepada Twitter milik Musk, malah ia sebelum ini menyaksikan kemunculan beberapa siri pesaing, namun belum ada yang mampu menggantikannya sebagai antara pentas media sosial terbesar dunia, walaupun kini sedang menghadapi kesukaran.

Tindakan terbaru Zuckerberg menentang Musk itu meningkatkan lagi persaingan antara dua jutawan berkenaan.

Menerusi ciapan pertama Zuckerbeg lebih sedekad lalu, beliau menciap ‘meme’ Spiderman yang dengan jelas menunjukan persamaan antara Threads dan Twitter.

Threads dilancarkan menerusi rangkaian kedai aplikasi Apple dan Android di 100 negara pada Rabu lalu, dengan rata-rata pengguna menyatakan wujud persamaan tertentu dengan Twitter.

Selepas beberapa jam dilancarkan, lebih 30 juta orang sudah memuat turun Threads, kata Zuckerberg semalam.

“Rasa seperti permulaan sesuatu yang istimewa, tetapi kami mempunyai banyak perkara untuk dilakukan pada masa hadapan bagi membina aplikasi ini,” tulis Zuckerberg pada akaun Threads rasminya semalam.

Antara akaun yang sudah aktif di Threads termasuklah dalam kalangan selebriti seperti Jennifer Lopez, Shakira dan Hugh Jackman, serta saluran media termasuk The Washington Post dan The Economist.

Dalam Threads, Zuckerberg menulis: “Ia akan mengambil sedikit masa, tetapi saya fikir harus ada aplikasi perbualan awam dengan lebih 1 bilion orang mengikutinya”.

Twitter sebelum ini memaklumkan aplikasinya mempunyai lebih daripada 200 juta pengguna setiap hari.

Di bawah Musk, Twitter menyaksikan pengurangan kandungan serta melakukan beberapa keputusan terburu-buru yang menakutkan selebriti dan pengiklan utama.

Beliau turut memecat lebih separuh daripada kakitangan Twitter, dengan sebahagian besar mereka mungkin pergi ke syarikat teknologi lain, termasuk Meta.

– BERITA HARIAN