NEW YORK: Twitter sekali lagi cuba melancarkan perkhidmatan premiumnya, sebulan selepas percubaan sebelumnya yang gagal.
Twitter semalam berkata ia akan membenarkan pengguna melanggan khidmat Twitter Blue bagi mendapatkan tanda biru dan mengakses ciri khas, mulai esok.
Tanda berkenaan asalnya diberikan kepada syarikat, selebriti, entiti kerajaan dan wartawan yang disahkan Twitter.
Namun, Elon Musk, yang melancarkan perkhidmatan itu, memberi tanda berkenaan kepada sesiapa yang sanggup membayar AS$8 (RM35.23) sebulan, sejurus dia membeli Twitter, Oktober lalu.
Bagaimanapun, Twitter menggantung perkhidmatan terbabit beberapa hari selepas dilancarkan, berikutan pentas itu dibanjiri akaun palsu, termasuk penyamar perniagaan Musk, Tesla dan SpaceX.
Pengguna laman sesawang akan dikenakan bayaran AS$8 sebulan bagi perkhidmatan dilancarkan semula itu, manakala AS$11 (RM48.44) sebulan untuk pengguna iPhone.
Twitter berkata, pengguna akan melihat lebih sedikit iklan, selain dapat menyiarkan video lebih panjang dan ciapan mereka dipaparkan dengan lebih menonjol.
Jumaat lalu, Musk memaklumkan Twitter akan mula memadam 1.5 bilion akaun yang tidak lagi aktif, membabitkan akaun tanpa sebarang ciapan dan tiada log masuk selama bertahun-tahun.
Agensi Anadolu melaporkan, langkah itu diambil susulan kenyataan Musk pada November lalu bahawa Twitter akan memadam akaun yang tidak aktif dalam tempoh 15 tahun menerusi ciapan.
“Sila ambil perhatian bahawa Twitter akan melakukan banyak perkara dalam beberapa bulan akan datang. Kami akan mengekalkan apa yang berfungsi dan mengubah apa yang tidak pada 9 November,” katanya.
Purata penggunaan harian di Twitter menjana 237.8 juta pada suku kedua, meningkat 16.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, menurut penyata keputusan kewangan yang dikeluarkan pada 22 Julai.
“Peningkatan itu didorong oleh penambahbaikan berterusan dan ciapan global mengenai peristiwa semasa,” menurut kenyataan itu.
Sejak mengambil alih Twitter, Musk membuat perubahan kontroversi untuk syarikat media sosial itu, termasuk menarik balik kebenaran kerja dari rumah dan menamatkan perkhidmatan separuh daripada kakitangannya. AGENSI
Sumber: BERITA HARIAN