Tze Yong Cipta Kejutan Singkir Pemain Nombor Satu Dunia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mencipta kejutan terbesar apabila menyingkirkan pemain nombor satu dunia yang juga juara bertahan dari Denmark, Viktor Axelsen di pusingan kedua Seluruh England di Birmingham, sebentar tadi.

Tze Yong yang membuat penampilan pertamanya di kejohanan berprestij itu mempamerkan semangat juang tinggi untuk melakar kemenangan sensasi 21-15, 9-21, 23-21 dalam tempoh 69 minit untuk melangkah ke suku akhir.

Pemain ranking ke-28 dunia itu akan dijadual bertemu pemain China, Li Shifeng bagi perebutan tiket ke separuh akhir.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin apabila terkandas di pusingan kedua selepas tewas di tangan pasangan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 18-21, 18-21.

Sumber: BERITA HARIAN