UC TATI Tawar Empat Program Baharu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Kolej Universiti (UC) TATI akan menawarkan empat program baharu di kampus bandar dengan satu daripadanya bakal bermula pada sesi pengambilan, bulan depan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata, antara program yang akan diperkenalkan adalah Diploma Kewartawanan serta Diploma Sains Sukan.

Selain itu menurut beliau, pengajian peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan juga bakal ditawarkan dengan sasaran pengambilan 100 pelajar setiap program.

“Satu lagi program iaitu Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak telah pun dibuka untuk permohonan bagi sesi pengambilan pengajian pada September ini.

“Manakala tiga lagi program itu sedang dibangunkan oleh pihak kolej universiti untuk dijalankan secara separuh atau sepenuh masa,” katanya kepada pemberita.

Ahmad Samsuri ditemui pada Majlis Perasmian Pembukaan Kampus Bandar UC TATI di Dewan Besar Menara Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di sini, hari ini.

Menurut beliau, kampus bandar itu merupakan cawangan pertama yang dibuka selepas kampus induk di Teluk Kalung, Kemaman yang telah ditubuhkan sejak 30 tahun lalu.

Ahmad Samsuri menjelaskan, beliau berpuas hati dengan kemudahan dan infrastruktur disediakan Kampus Bandar UC TATI yang terletak bersebelahan Menara PMINT.

Tambah beliau, kampus induk kolej berkenaan di Teluk Kalung kini menawarkan 43 kursus pengajian daripada peringkat asasi sehingga doktor falsafah.

“Dengan pembukaan Kampus Bandar UC TATI, kita mensasarkan untuk menambah bilangan pelajar di kedua-dua kampus itu sehingga 3,000 orang sekaligus membuka lebih banyak ruang pendidikan.

“Dengan lokasinya yang strategik di tengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu, saya yakin penubuhan kampus bandar ini memberi manfaat kepada semua pihak,” jelasnya lagi. – UTUSAN