Setiap kali bersin, bibir kita secara spontan akan menyebut lafaz alhamdulillah. Manakala orang yang mendengarnya pula akan membalasnya dengan ucapan Yarhamukallah.
Demikianlah adab bersin yang diajar oleh agama Islam kepada umatnya. Bersin merupakan nikmat semula jadi yang dikurniakan Allah kepada setiap hamba-NYA.
Maka tidak hairanlah apabila kita sedang solat sekalipun, kadangkala tanpa sedar bibir begitu laju sahaja mengungkapkan ucapan alhamdulillah tatkala terbersin.
Namun begitu, seandainya kita terbersin ketika sedang membaca Surah al-Fatihah di dalam solat, apakah status bacaan al-Fatihah kita tadi? Adakah ia perlu diulang semula?
Pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad menjelaskan, situasi itu pernah berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.
Ketika itu, katanya, ada seorang sahabat tiba-tiba terbersin ketika baginda dan para sahabat sedang menunaikan solat secara berjemaah.
Mendengar sahaja salah seorang sahabat bersin, ada seorang sahabat lain membalasnya dengan mengucapkan “Alhamdulillahi hamdan kathira toyyiban mubarakan fih, mubarakan ‘alaih” pada ketika itu.
“Sebaik selesai solat, Rasulullah bertanyakan kepada para sahabat tentang siapa yang bersin dan mengucapkan ucapan berkenaan?
“Lantas, seorang sahabat mengaku. Lalu, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya para malaikat tadi berbondong-bondong mendoakan kamu.”
“Hadis itu sebenarnya memberitahu bahawa kita boleh menyebut ucapan alhamdulillah ketika solat, ujar Da’i Fuad.
“Namun begitu, beliau turut menukilkan pandangan al-Imam Ramli dalam Fiqh as-Syafi’iyyah bahawa ucapan berkenaan tidak boleh disebut sewaktu membaca surah al-Fatihah kerana perbuatan itu membatalkan mu’alat (berturut-turut) bacaan al-Fatihah itu tadi.
“Andai ucapan alhamdulillah diungkapkan ketika membaca surah al-Fatihah ketika solat, maka kita perlu mengulangi kembali bacaan surah berkenaan,” jelasnya.
Sumber: SINAR PLUS