Ugutan Bunuh Cemar Imej Bola Sepak Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net) menyifatkan mesej berbaur ugutan bunuh yang dihantar seorang penyokong kepada pemain import The Red Warriors (TRW) mencemar imej bola sepak ne­geri ini.

Presidennya, Mohd. Nurul Md. Yusoh berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku walaupun bersifat ‘gurauan’ sekalipun.

“Saya terkejut dengan apa yang dilontarkan oleh pemilik akaun tersebut dan perkara itu mungkin boleh meninggalkan impak negatif kepada pemain terlibat.

“Kita tidak bersetuju dengan tindakan tersebut dan harus diingat, pemain berkenaan masih baharu dalam saingan Liga Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Mohd. Nurul memberitahu, kejadian tersebut perlu dijadikan pengajaran buat seluruh penyokong bola sepak di negara ini.

Katanya, bola sepak adalah sukan yang menjadi alat penyatuan masyarakat di seluruh dunia.

“Sebagai penyokong, kita tidak boleh mengikut emosi dalam satu-satu perkara sehingga boleh mencetuskan polemik.

“Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” ujarnya.

Kelmarin, Utusan Malaysia ­melaporkan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menyelar sikap segelintir penyokong yang bertindak menghantar ugutan bunuh kepada pemain import ­baharu mereka, Christian Rontini.

“Saya amat kecewa dengan tindakan peminat Kelantan yang menghantar ugutan bunuh kepada pemain baharu Kelantan, Christian Mangaron Rontini.

“Sepatutnya sebagai peminat yang bijaksana haruslah menyambut baik kehadiran pemain baharu, lebih lagi Rontini adalah pemain import yang harus ditujukkan budaya Malaysia yang peramah dan baik.

“Lebih lagi budaya Masyarakat Kelantan yang bertatasusila selagi tidak kacau.

“Sekali lagi saya kecewa dengan kenyataan ugutan penyokong ini dan sudah meminta pasukan ­pengurusan buat satu laporan Polis dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia). Ugutan bukanlah perkara main-main!” katanya.

Sumber: UTUSAN