UiTM Dominasi Acara Petanque MASUM 2023 Fasa 2

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Pasukan petanque Universiti Teknologi MARA (UiTM) berada pada kelas tersendiri apabila membolot lima daripada enam pingat emas dipertandingkan pada Karnival MASUM 2023 Fasa 2 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Dengan tambahan satu lagi pingat perak, kejayaan itu membolehkan UiTM dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam acara petanque pada kejohanan terbabit.

Skuad Triple lelaki iaitu Ayzek Hakimi, Hasbullah dan Darwisy Afnan menutup tirai kejayaan UiTM dengan kilauan pingat emas apabila menewaskan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan mata 13-10.

Pengurus pasukan petanque UiTM, Syed Akmal Fikri Syed Ali berkata pasukan lelaki mendapat tentangan yang sengit dari lawan namun faktor pengalaman membantu kesemua pasukan lelaki menguasai keseluruhan pertandingan.

“Perlawanan akhir kategori triple lelaki amat mendebarkan kerana pasukan lawan tidak memberikan sedikit ruang kepada atlet UiTM untuk mendapatkan mata.

“Namun dengan semangat yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga atlet UiTM membantu kita menjadi juara,” katanya.

Empat lagi pingat emas disumbangkan dalam kategori Single menerusi Haris Jonaidey serta kategori Double Lelaki menerusi Mohamad Muqri A’rif dan Syed Afiq Fakhri.

Sharifah Afiqah Farzana dan Nur Nadirah menyumbang pingat emas dalam kategori Double Wanita selain pingat emas dalam kategori Triple Wanita menerusi Athirah Sareh, Sharifah Aqilah Farhana dan Nur Alya Farzana.

– BERITA HARIAN