Ukuran Keimanan Kepada Allah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Harta berharga yang dimiliki oleh Muslim dalam kehidupan ini adalah iman harta. Martabat seseorang manusia di sisi Allah SWT adalah diukur dengan ketinggian iman. Oleh itu, untuk menilai tahap kualiti iman Muslim, Allah SWT sentiasa memberi ujian dalam pelbagai bentuk. 

Ujian tersebut kadang kala berupa musibah. Kadangkala ada dugaan berbentuk menyenangkan. 

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Anbiya ayat 35 yang bermaksud: “Tiap-tiap diri akan merasai mati dan kami menguji kamu dengan kesusahan serta kesenangan sebagai cubaan dan kepada kamilah kamu semua akan dikembalikan.”

Meminjam kata-kata Sayyid Qutub dalam kitab tafsirnya, di bawah bayangan al-Quran, beliau menegaskan bahawa dua bentuk ujian tersebut sebenarnya mempunyai tujuan sama iaitu untuk mengingatkan manusia supaya tidak lupa kepada Allah SWT.

Apa yang penting, ujian mendatang itu adalah sebagai ukuran terhadap iman. 

Sehubungan itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkat-tingkat baik buruknya (sebelum kamu menemui Tuhan – menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya).” Surah al-Insyiqaq ayat 19

Allah memberi manusia sumber kekuatan untuk menelusuri perjalanan hidup yang penuh cabaran. Disebabkan itu Allah melengkapkan manusia dengan kemampuan fizikal, kecerdasan akal fikiran dan kecelikan hati nurani untuk menyesesuaikan diri dengan sebarang situasi yang melanda di samping mencari jalan mengatasi kesulitan dihadapi.

Jika direnung pada makna ujian yang mewarnai pentas kehidupan ini, ternyata ujian dan kesulitan itu dapat menjana kekuatan diri manusia. Tanpa ujian, tidak akan wujud istilah kemajuan dalam kamus kehidupan manusia. 

Manusia belajar menjadi kuat kerana berjaya menghadapi cabaran yang merintangi di hadapannya. Tanpa kesulitan dan ujian, daya pemikiran dan kewarasan manusia pun akan terencat, sekali gus akan membantut survival manusia dalam kehidupan yang penuh dinamik dan sentiasa berubah ini.

Kesulitan dan ujian hidup, merupakan satu jalan pendakian menuju ke puncak kejayaan dan keredaan Ilahi. Oleh sebab itu, jangan sesekali mengeluh tentang kesulitan hidup kerana ia akan menghancurkan kemampuan yang dimiliki. 

Maka, ada baiknya setiap kesulitan dan ujian hidup dihadapi sebagai langkah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Oleh itu, setiap Muslim jangan mudah mengeluh kerana keluhan itu mengakibatkan kesulitan menjadi lebih berat. Di satu segi yang lain, kegagalan bukanlah bererti gagal selama-lamanya. kegagalan ditempuh mampu menyuntik kembali semangat juang dan ketabahan dalam menelusuri titian hidup penuh pancaroba.

Kesimpulannya, ujian kehidupan ini sebenarnya adalah perjalanan hidup yang pasti dan mesti dilalui oleh setiap insan penghuni bumi Allah ini. Setiap insan sewajarnya bersiap sedia kerana ujian itu datang tanpa disedari. 

Ingatlah sentiasa  kepada Allah SWT dalam semua keadaan. Mudah-mudahan rahmat dan hidayah-Nya menemani setiap detik hidup insan yang beriman.

Sumber: HARIAN METRO