KUALA LUMPUR – Atlet olahraga negara, Umar Osman terus mencipta sensasi di Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) di Chengdu, China apabila sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan dimilikinya hari ini.
Kali ini, Umar yang meraih emas di Sukan SEA Kemboja pada Mei lalu mencatatkan 46.09 saat (s) dalam saringan separuh akhir ketiga acara 400 meter (m) lelaki di Stadium Pusat Sukan Shuangliu.
Ia sekali gus memadam rekod kebangsaan yang dilakukannya semalam dengan catatan 46.33s.
Catatan terbaharu dilakukan Umar itu meletakkan dirinya di kedudukan ketiga dalam saringan ketiga berkenaan di belakang atlet Jepun, Kenki Imaizumi yang mencatat 46.01s (di tempat kedua) dan wakil Australia, Nathaniel Holder Reece, 45.75s (di tempat pertama).
Dengan catatan baharu itu juga, Umar layak ke pentas final, esok.
– BERITA HARIAN