Umat Islam Perancis membantah undang-undang baru yang melarang penyembelihan haiwan secara halal

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Sekumpulan ayam di padang rumput ladang organik berhampiran Waukon, Iowa pada 21 Oktober 2015. (Foto AP Foto)

Perancis, 11 Sya’ban 1442 H, Khamis : Pihak Muslim di Perancis mengkritik undang-undang baru-baru ini yang melarang penyembelihan haiwan ternakan berdasarkan prinsip Islam menjelang bulan suci Ramadan, lapor Agensi Anadolu (AA).

Pengarah Masjid Paris Chems-eddine Hafez, pengarah Masjid Lyon Kamel Kaptane dan pengarah Masjid Evry, Khalil Maroun mengeluarkan kenyataan bersama, dan mengatakan bahawa pekeliling Kementerian Pertanian dan Makanan Perancis bertarikh 23 November 2020, merupakan mesej negatif kepada masyarakat Islam di negara mereka ketika menjelang Ramadan.

Selaras dengan peraturan baru, penyembelihan binatang ternakan mengikut cara Islam akan dilarang di Perancis mulai Julai 2021.

Kenyataan bersama ini menunjukkan bahawa ketiga-tiga pentadbir menyampaikan kebimbangan mereka kepada pihak kementerian yang berkenaan namun tidak mendapat hasil yang konkrit.

“Langkah berjaga-jaga yang diambil ini merupakan satu halangan besar yang menghalang kebebasan penganut agama Islam menjalankan agama mereka,” kata pernyataan tersebut. Tambahnya lagi, mereka merancang untuk mengambil tindakan undang-undang yang diperlukan untuk mengembalikan “hak asasi.”

Para pemimpin Muslim juga turut membincangkan perkara ini dengan pemimpin masyarakat Yahudi di Perancis, kata laporan itu.

Perancis dan negara-negara Eropah yang lain, seperti Belgium, telah mengambil tindakan menentang daging halal, manakala pihak berkuasa tempatan pula memaksa pasar raya halal di pinggir bandar Paris untuk menjual produk alkohol dan daging babi.

Sebahagian penyokong kempen hak haiwan Eropah menyatakan bahawa tindakan penyembelihan oleh penganut Yahudi dan Islam adalah satu tindakan penyembelihan ritual yang “kurang berperikemanusiaan” berbanding amalan biasa penyembelihan haiwan oleh masyarakat Eropah yang menghalang haiwan dibunuh dengan renjatan eletrik.

Di dalam Al-Quran, firman Allah telah menyatakan bahawa haiwan mesti dilayan dengan lembut.

Bagi penyembelihan haiwan yang halal mengikut Islam, pihak penyembelih digesa untuk menyembelih haiwan itu dengan memotong pantas urat halkum dan urat marih haiwan tersebut.

Melakukan renjatan eletrik kepada haiwan untuk mengurangkan kesakitan, seperti yang disarankan pihak Kesatuan Eropah, tidak dibenarkan dalam Islam. Bahkan sebenarnya keseluruhan komuniti Muslim dan minoriti Yahudi Perancis hanyalah sekitar 10% daripada keseluruhan populasi penduduk di Perancis.

Pasaran daging halal yang disembelih mengikut norma Islam, sedang berkembang pesat di Perancis dan mendapat permintaan yang tinggi terutama di sekolah, hospital dan kantin syarikat.