Umat Islam Perancis tidak menyenangi piagam anti ekstremis Macron

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Ketua pertubuhan Islam utama di Perancis hari ini membidas tindakan tiga kumpulan Islam yang enggan menandatangani piagam anti ekstremis yang pelopori Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Macron mahu semua kumpulan Islam di Perancis menandatangani piagam itu dalam usahanya untuk memperkukuh sistem sekular, susulan beberapa serangan yang didakwa didalangi kumpulan radikal Islam sepanjang tahun lalu.

Namun, dua badan mewakili rakyat berbangsa Turki, Jawatankuasa Koordinasi Muslim Turki di Perancis (CCMTF) dan Persekutuan Islam Milli Gorus (CMIG) selain gerakan Kepercayaan dan Amalan, semalam menolak piagam itu.

Presiden Majlis Kepercayaan Muslim Perancis (CFCM), Mohamed Moussaoui, berkata semua kumpulan Islam terbabit berisiko dipertanggungjawabkan atas perpecahan dalam kalangan mereka.

Katanya, penolakan tiga kumpulan itu tidak akan memberi jaminan berhubung pengaruh badan yang mewakili agama Islam di Perancis.

Sementara itu, sumber yang enggan dinamakan berkata, tiga kumpulan itu enggan menandatangani piagam berkenaan kerana bimbang mengenai definisi campur tangan asing dalam agama serta definisi politik Islam.

kemelut itu berlaku ketika ketegangan hubungan diplomatik antara Perancis dan Turki, dengan Presidennya, Recep Tayyip Erdogan, berulang kali membidas usaha keras Macron terhadap Islam radikal di Perancis.

Milli Gorus, yang juga gerakan pan-Eropah untuk diaspora Turki, dilihat sebagai hasil cetusan idea bekas Perdana Menteri Turki, Necmettin Erbakan, yang dianggap bapa politik Islam di Turki dan mentor Erdogan.

“Kami percaya beberapa ayat dan formula dalam piagam akan melemahkan hubungan kepercayaan antara orang Islam Perancis dengan negara ini.

“Malah, beberapa pernyataan dalam piagam itu menimbulkan prejudis terhadap maruah Islam, yang ditulis dengan nada menuduh dan memperkecilkan,” kata ketiga-tiga kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Lima daripada sembilan kumpulan Islam yang membentuk anggota gabungan CFCM, badan yang diwujudkan 20 tahun lalu untuk membolehkan dialog antara kerajaan dan masyarakat Islam, sudah menandatangani piagam itu selepas perdebatan sengit selama beberapa minggu. – AFP