UMP salur RM100 kepada penuntut terkesan penangguhan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Yayasan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyalurkan RM100 kepada penuntut yang terkesan susulan penangguhan pendaftaran kemasukan secara fizikal.

Gambar tular pelajar di sebuah IPT terpaksa pulang semula ke kampung selepas penangguhan pendaftaran secara fizikal seperti diumumkan oleh KPT

Pengerusi Yayasan UMP, Datuk Seri Md Sharif Shamsuddin, berkata setakat ini, lebih 1,000 penuntut sudah dikenal pasti dan jumlah itu dijangka bertambah.

Katanya, pihaknya juga sedang mengumpul maklumat daripada penuntut yang terkesan akibat penangguhan itu melalui pautan yang dihebahkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

“Yayasan UMP juga membuka permohonan zakat pelajar dan bantuan sara hidup bagi menampung keperluan sepanjang tempoh semester baharu yang akan bermula pertengahan bulan ini. Selain itu, sebagai usaha membantu pelajar yang berada di kampus, mereka boleh mendapatkan barangan keperluan diri dan makanan secara percuma di kedua-dua kampus UMP Pekan dan Gambang,” katanya dalam satu kenyataan.

UMP sebelum ini mengumumkan penangguhan semua pelajar termasuk pelajar baharu di kedua-dua kampus UMP Pekan dan Gambang.

Bagi pelajar baharu, mereka tidak perlu hadir secara fizikal atau bersemuka, malahan mereka perlu membuat pendaftaran secara dalam talian bermula 5 hingga 9 Oktober ini mengikut tatacara pendaftaran yang dimaklumkan melalui laman sesawang UMP.

Md Sharif berkata, selain itu, semua pelajar kanan yang belum kembali ke kampus diminta menangguhkan kepulangan mereka sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Pelajar boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana UMP di talian 09-5493333 (UMP Gambang) atau 09-4246999 (UMP Pekan) untuk sebarang maklumat,” katanya.

Sumber : Berita Harian